LAWATAN KE JAWA BARAT

Pada 26-29 Disember 2007 yang lalu saya telah mewakili PKPIM dalam kunjungan Silaturahim ke Jawa Barat. Seramai 40 orang peserta yang menyertai rombongan ini yang terdiri daripada keluarga WADAH-ABIM-PKPIM . Antara objektif kunjungan ini adalah untuk mengeratkan dan mengukuhkan hubungan dakwah dan silaturrahmi antara WADAH, ABIM, PKPIM dan badan- badan dakwah dan gerakan Islam di Indonesia. Selain itu, tujuan lawatan ini ialah untuk meningkatkan hubungan intelektual dan keilmuan dikalangan intelek dan ulama Malaysia dan Indonesia.

Pada hari pertama iaitu 26 Disember 2007, setibanya saya dan delegasi lain di Jakarta, kami terus di bawa menaiki bus menuju ke Bandung. Perjalanan mengambil masa selama 3 jam dan persekitaran sepanjang laluan Jakarta - Bandung sangat menarik perhatian saya. Ini kerana sungguh indahnya ciptaan Allah S.W.T. Sepanjang laluan lebuhraya, saya sungguh terpesona dengan tanaman padi huma yang jarang dilihat di Malaysia. Berbanding dengan Jakarta, persekitarannya kurang enak dan kurang bersih kerana terdapatnya perkampungan setinggan di bawah jambatan-jambatan. Setibanya kami di Bandung, kami terus menjamu makanan Padang dan seperti biasa saya dapat menyesuaikan diri dengan makanan-makanan tersebut.

Selepas menjamu selera kami telah melawat dan singgah sebentar di Masjid Pondok Pesantren Daarut Tauhid, Gegerkalong, Bandung. Kami terpaksa menaiki van kerana keadaan bas yang besar tidak dapat memasuki jalan ke Pesantren tersebut. Keadaan di situ sunggguh aman sekali di mana terdapatnya masjid yang boleh memuatkan jemaah seramai 7000 orang dalam satu masa iaitu pada malam Jumaat. Ini kerana terdapatnya ceramah pada malam tersebut. Di samping itu juga di persekitarannya terdapat perkampungan, kedai-kedai dan sebagainya. Untuk pengetahuan Pesantren Daarul Tauhid diupayakan oleh seorang ulama Indonesia iaitu KH Abdullah Gymnastiar atau lebih dikenali sebagai Aa Gym. Tujuan kami adalah untuk menemui Aa gym, namun apabila dikhabarkan beliau sedang menunaikan haji , kami tidak lama di situ.

Pesantren Daarul Tauhid adalah salah satu contoh lembaga sosial yang berhasil mengubah linkungannya menjadi satu linkungan permukiman yang dinamik. Pesantern ini diilhamkan dan diusahakan oleh Aa Gym. Pesantren ini berjaya mengubah keadaan persekitarannya, di mana dahulunya hanya dipenuhi dengan masyarakat setempat yang tiada tempat untuk beribadah kepada sebuah kawasan dan linkungan baru yang tumbuh secara lebih kukuh, menjalankan kegiatan ibadat sehari-hari dengan kegiatan mencari nafkah, mengembangkan pendidikan, menganjurkan kegiatan kebaikan dan diterima oleh masyarakat majmuk. Pada 4 September 1990, Yayasan Daarut Tauhid terbentuk. Manakala pada tahun 1993, pesantren ini semakin berkembang dengan terbinanya sebuah masjid yang dibantu oleh masyarakat sekitar.

Pada hari kedua, rombongan akan menuju ke Jakarta dengan melalui Puncak. Puncak merupakan sebuah kawasan pergunungan yang terkenal dengan keadaan sejuknya seperti Cameron Highlands di Malaysia. Persekitarannya sangat bersih dan di lereng-lereng bukit terdapat tanaman seperti teh, sayur- sayuran dan sebagainya. Perjalanan ke Jakarta melalui Puncak memakan masa yang lama iaitu lebih kurang lima jam. Kami banyak menghabiskan masa di dalam bas selain menikmati permandangan di lereng-lereng bukit. Seibanya di Jakarta, saya dan rombongan di bawa melawat Toko Buku Wali Songo. Perkara ini sebenarnya yang saya nanti-nantikan. Memang besar keadaan toko tersebut. Toko Wali Songo memuatkan buku-buku Islam, pakaian, kaset dan cakera nasyid dan sebagainya. Sesungguhnya masa sejam sungguh sekejap bagi saya untuk memilih buku di situ. walau apa pun saya sungguh gembira dapat berkunjung ke situ di samping dapat membeli buku-buku dengan harga yang murah!

Pada hari yang ketiga merupakan hari yang terpenting dan dinanti-nantikan. Rombongan akan sampai pada kemuncaknya apabila pada hari tersebut kami akan berkunjung ke Dewan Dakwah Islamiyah dan Nahdatul ulama'. Selepas sarapan pagi di hotel, kami menuju ke Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia yang memakan masa selama 30 minit menuju ke sana. Apabila sampai di sana kami disambut oleh kakitangan DDI dan mereka mengalu-alukan kedatangan kami. Selepas itu kami dibawa ke sebuah bilik menyuarat di mana sudah ramai yang menanti kedatangan kami. Majlis dimulakan dengan ucapan pemangku Ketua DDI, Ustaz Mohd Nor. Beliau gembira dengan kehadiran kami terutamanya Ustaz Siddiq Fadzil yang memang sudah sebati dengan DDI. Untuk makluman kami pada waktu itu, Ketua Dewan Dakwah Islamiyah iaitu Ustaz Syuhada Bahri pergi menunaikan haji jadi tidak berkesempatan bersama kami pada waktu itu.

Perbincangan dua hala terjadi di antara DDI dengan WADAH-ABIM-PKPIM. Ucapan dari Malaysia diwakili oleh Presiden WADAH iaitu Dato' Dr. Siddiq Fadzil di mana beliau memberikan sepatah dua kata disamping berasa terharu di atas smbutan hangat daripada DDI dan tidak lupa membentangkan situasi yang berlaku di Malaysia pada ketika itu. ABIM dan PKPIM tidak terkecuali memberi laporan ringkas tentang pergerakan dan aktiviti terkini. ABIM diwakili oleh Presiden ABIM sendiri iaitu Tuan Hj. Yusri Muhamad dan PKPIM diwakili oleh saya sendiri.

Pada sesi pertemuan tersebut, DDI memaklumkan tentang perkara yang berlaku sekitar Indonesia dan dalam DDI itu sendiri. DDI akan menyambut 100 tahun perjuangan Buya Hamka dan Pak Natsir pada tahun ini di mana Buya Hamka pada 17 februari 2008 dan Pak Natsir pada 18 julai 2008. Banyak program yang akan dianjurkan sepanjang tahun 2008 bagi mengenang perjuangan mereka di dalam bidang dakwah. Antaranya ialah seminar di sekitar Bandung dan Padang serta banyak lagi. Mereka juga mengharapkan WADAH-ABIM-PKPIM turut membuat program yang sama di Malaysia. Antara masalah yang berlaku di DDI juga ialah ada pihak-pihak tertentu membuat fitnah terhadap Buya Hamka yang menyatakan bahawa beliau memperjuangkan fahaman pluralisme. MasyaAllah..sungguh berat tuduhan tersebut. Ini kerana pihak tersebut telah melihat satu ayat di dalam Surah al- Baqarah (saya lupa ayatnya) di dalam Tafsir Hamka. Sesungguhnya mereka telah salah tafsir pada Tafsir Hamka tersebut. Pihak DDI menyatakan bahawa perkara ini mereka jumpai di dalam sebuah buku yang sudah diterbitkan di Indonesia (saya tidak dapat catat judul tersebut). Perkara yang kedua ialah ada pihak tertentu di Indonesia menyatakan bahawa Sambutan Hari Natal boleh disambut oleh Muslim juga. DDI perlu banyak bersuara dalam menangani isu ini dan alhamdulillah bagi isu sambutan Hari Natal DDI telah mengeluarkan risalah kecil iaitu Fatwa Haram menyambut hari natal oleh Muslim. Bagi Dewan Muslimat DDI mereka juga sedang menghadapi tentangan hebat iaitu tentang isu feminisme dan gender.

Sebelum berakhirnya perbincangan DDI meminta diperjelaskan isu tentang perlakuan kasar terhadap pekerja Indonesia, isu warga mereka ditahan polis dan sebagainya. Alhamdulillah Ustaz Siddiq dapat menjawab isu dengan sebaik mungkin. Antara resolusi pada perbincangan tersebut ialah DDI mengharapkan wujudnya berbincangan secara online dengan WADAH-ABIM-PKPIM, setiap terbitan/cetakan di hantar ke DDI @ WADAH-ABIM-PKPIM sebagai rujukan. Manakala Presiden WADAH mengimpikan untuk diwujudkan Regional Institute untuk NGO-NGO Islam. Selepas selesai perbincangan, kami dijemput ke toko buku DDI dan menjamu selera.

0 comments:

BEBASKAN PALESTIN

BEBASKAN PALESTIN

PROFIL DIRI

Munirah Bahari

Dilahirkan pada 18 Oktober 1984 di Kampung Telok Bakong, Perak. Merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Ilmu Wahyu & Warisan Islam dan Diploma Pendidikan di UIAM, Gombak. Sekarang bertugas sebagai pendidik di SMK (F) Besout, Sungkai. Penulis boleh dihubungi melalui emel munirahbahari@gmail.com atau YM (munirah_bahari)