KENYATAAN BALAS ISU PEMAKAIAN SERAGAM SEKOLAH

23 MEI 2008/ 17 JAMADILAWAL 1429 H

KENYATAAN BALAS ISU PEMAKAIAN SERAGAM SEKOLAH

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada cadangan awal untuk menilai pakaian pelajar perempuan di sekolah yang perlu dinilai semula. Masyarakat perlu mengetahui dan melihat bahawa cadangan ini dibuat hanya kepada pelajar perempuan Islam sahaja. Kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini adalah berteraskan kepada lima asas yang utama.

Pertamanya, isu ini bukan mahu menyalahkan pelajar perempuan, akan tetapi ia sebagai salah satu kaedah pencegahan (sad zarai’ik) di dalam Islam supaya pelajar perempuan tidak terdedah kepada ancaman luar dan masalah sosial akibat daripada pemakaian yang terlalu jarang. Langkah pencegahan ini sangat penting supaya mereka bebas daripada ancaman persekitaran mereka.

Keduanya, cadangan penukaran pakaian berwarna ini ditujukan kepada pelajar Islam, supaya cara pemakaian pelajar Islam selarii dengan Shariah dan tuntutan Islam itu sendiri. Dalam Islam, baju kurung sahaja tidak lengkap jika masih menayangkan tubuh badan. Pemakaian baju kurung kepada pelajar bukan Islam bukanlah satu paksaan kepada mereka, akan tetapi mereka yang berminat memakai baju kurung berwarna sangat digalakkan.

Asas yang ketiga ialah, ramai guru turut mengeluh sebenarnya kerana pemakaian pelajar perempuan yang terlalu jarang menyebabkan tumpuan guru terganggu. Ini akan menyebabkan keadaan yang tidak selesa kepada guru-guru tersebut.

Keempat, peranan ibu bapa sangat penting dalam urusan persekolahan pelajar di mana ibu bapa juga berperanan memilih pemakaian yang sesuai untuk anak-anak mereka.

Asas yang terakhir ialah PKPIM tidak menuduh persepsi lelakii Malaysia semua sebagai ‘mata keranjang’ akan tetapi secara fitrahnya mata lelaki akan mudah teransang dengan pemakaian yang ‘seksi’ atau yang tidak menutup aurat. Apatah lagi yang melihatnya nanti guru- guru yang bertanggungjawab mendidik mereka.

PKPIM berpandangan bahawa pakaian awam ini merupakan salah satu faktor daripada banyak faktor-faktor lain yang menyumbang kepada jenayah seksual. Tidak semua mereka yang berpakaian tidak menutup aurat atau terdedah itu semestinya menjadi mangsa, akan tetapi merupakan salah satu daripada faktor menyumbang kepada masalah gangguan seksual. Selain itu juga, pakaian yang terdedah itu turut menimbulkan rangsangan kepada lelaki-lelaki di persekitarannya. Sebenarnya, penjenayah itu dapat melihat dan teransang daripada orang yang tidak memakai tudung berbanding mereka yang bertudung atau menutup aurat.

PKPIM juga tidak menafikan bahawa mangsa jenayah seksual ada terdiri daripada mereka yang bertudung dan menutup aurat, di mana penjenayah tidak mengenal mangsanya. Tetapi hakikatnya, penjenayah seksual ini telah didedahkan dengan faktor-faktor seperti imej lucah, imejj tidak menutup aurat di media, internet, vcd lucah dan sebagainya.

PKPIM bertegas bahawa imej-imej lucah, pendedahan aurat , etika berpakaian ini merupakan antara salah satu faktor menyumbang kepada masalah ini.

PKPIM mengharapkan Kementerian Pelajaran dapat mempertimbangkan cadangan ini dan dinilai kembali kerana ia sangat penting kepada semua. Semoga usaha ini mendapat sokongan daripada pihak luar.

PAKAIAN SERAGAM PELAJAR PEREMPUAN PERLU DINILAI SEMULA

Kementerian Pelajaran dicadangkan menukar pakaian seragam pelajar perempuan bagi menangani jenayah seksual melibatkan remaja dan hubungan seks sebelum perkahwinan dalam kalangan mereka.Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) berkata, kementerian boleh menukar baju putih kepada baju berwarna kerana ia tampak sesuai dan tidak jarang untuk dipakai oleh pelajar perempuan."Baju berwarna putih sangat jarang untuk dipakai oleh pelajar perempuan menyebabkan ada daya tarikan di situ," kata pemimpin wanita PKPIM, Munirah Bahari hari ini."Lebih-lebih lagi ia (baju jarang) akan mengganggu mata lelaki, sama ada suka melihatnya atau pun tidak. Baju berwarna putih itu tidak sesuai dipakai oleh pelajar perempuan di sekolah kerajaan."
Di sinilah punca yang boleh kita saksikan bahawa pelajar perempuan itu sendiri mempunyai daya tarikan supaya lelaki mendekatinya."Oleh itu terjadilah perkara-perkara seperti pencabulan, penzinaan dan sebagainya."Beliau mencadangkan kementerian menilai semula secepat mungkin baju seragam sekolah untuk pelajar perempuan.Jika kementerian ingin mengekalkan seragam warna putih, katanya, PKPIM mencadangkan pelajar perempuan diwajibkan memakai singlet dalam atau tudung yang labuh kerana ia tampak lebih kemas, selesa dan selamat."Kami mengharapkan agar Kementerian Pelajaran bertindak tegas dalam menangani isu ini dan rombakan perlu dilakukan ke atas pemakaian pelajar perempuan demi memenuhi syariat dan tuntutan agama Islam," kata Munirah, naib presiden hal ehwal wanita PKPIM, dalam satu kenyataan hari ini.Beliau juga berkata, sikap pelajar perempuan yang tidak tegas menjadikan mereka mangsa cabul."Apa yang terjadi sekarang ialah mereka tidak tegas dan membiarkan diri mereka diperlakukan apa-apa sahaja oleh sesiapa," katanya.Isu yang melibatkan keselamatan diri remaja, tegas Munirah, perlu diberikan perhatian oleh semua pihak."Namun begitu, isu ini dilupakan seketika (sekarang) apabila laporan sebegini tidak lagi tersiar di dada-dada akhbar."Sebaliknya isu ini akan menjadi panas apabila ada mangsa terbaru dilaporkan," tambahnya."Pakaian yang sopan dan menutup aurat boleh mencegah dan melindungi wanita daripada berlaku sebarang perkara yang tidak diingini."

HIDAYATUS SALIKIN - BAB KETIGA

HIDAYATUS SALIKIN
SYEIKH ABDUS SHAMAD AL-FALIMBANI
TERJEMAHAN DARIPADA HJ. WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH


BAB KETIGA
PADA MENYATAKAN MENJAUHKAN SEGALA MAKSIAT YANG ZAHIR

Kata Imam al-Ghazali Rahimahullah Ta’ala yang bermaksud:

“ Ketahuilah olehmu, bahawasanya agama itu 2 bahagian:
Pertama : Meninggalkan maksiat yang ditegah.
Kedua : Berbuat taat yang disuruhkan akan dia. Dan meninggalkan akan segala yang ditegah itu sangat susah. Maka berbuat taat itu kuasa atasnya oleh tiap-tiap seorang. Dan meninggalkan syahwat itu melazimkan akan maksiat itu tiada kuasa atasnya melainkan Shadiqun. Dan dari karena inilah sabda Nabi S.A.W, “ Bermula orang yang muhajir itu (ialah) seorang yang meninggalkan akan kejahatan dan orang yang perang sabil itu, iaitu orang yang memerangkan hawa nafsunya”

Dan lagi kata Imam al-Ghazali Rahimahullah Ta’ala yang ertinya:

“ Ketahuilah olehmu, bahawasanya engkau hanya [se]sungguhnya berbuat maksiat akan Allah ‘Azza wa Jalla dengan segala anggotamu. Dan hanya [se]sungguhnya anggotamu it nikmat daripada Allah Ta’ala atasmu, dan petaruhan padamu. Maka jika engkau perbuat akan maksiat dengan suatu daripada anggotamu itu maka seolah-olah engkau minta tolong dengan nikmat Allah Taala atas berbuat maksiat. Maka yang demikian itu sehingga-hingga kufur bagi nikmat Allah Taala, yakni menyalahi akan yang dijadikan [oleh] Allah Ta’ala dengan dia. Kerana segala anggotamu itu dijadikan akan dia kerana berbuat taat kepada Allah Ta’ala. Maka tatkala engkau berbuat maksiat dengan dia maka yang demiakian itu menyalahi akan yang dijadikan dengan dia. Inilah makna kufur di sini, iaitu dinamakan dengan kufur nikmat . Dan bukan makna kufur di sini makna kufur agama. Dan lagi segala anggotamu itu petaruhan daripada Allah Ta’ala kepadamu. Maka jika engkau berbuat maksiat dengan dia nescaya engkau khianat. Dan khianatmu pada petaruhan yang menaruh akan dia oleh Allah Ta’ala padamu itu, iaitu sehingga-hingga maksiat. Maka segala anggotamu itu seperti rakyatmu, maka titik olehmu betapa engkau memeliharakan akan dia. Maka sekalian kamu itu punya peliharaan, dan tiap-tiap kamu ditanya pada hari kiamat akan suatu yang kamu pelihara itu”.

Maka jikalau tiada engkau peliharakan segala anggotamu itu daripada segala maksiat nescaya ditanya oleh Allah Ta’ala akan kamu pada hari kiamat. Maka tatkala itu tiada dapat lagi engkau berdusta dan tiada dapat engkau sembunyikan melainkan nyata akan perbuatanmu itu. Kerana segala anggotamu itu pada ketika hari kiamat itu naik saksi atas perbuatanmu itu dengan perkataan yang nyata lagi fasih dan jikalau lidahmu tiada bertutur sekali pun. Seperti firman Allah Ta’ala dalam surah an-Nur ayat 24 yang bermaksud:

“ Pada hari yang naik saksi atas mereka itu segala lidah mereka itu, dan segala tangan mereka itu, dan segala kaki mereka itu dengan segala maksiat yang ada diperbuat oleh mereka itu akan dia, iaitu pada hari kiamat”.

Oleh itu engkau peliharakan segala badanmu, istimewa pula segala anggotamu yang tujuh daripada segala maksiat yang [di] tegahkan akan dia oleh Allah Ta’ala iaitu:
Memelihara mata
Memelihara Telinga
MemeliharaLidah
Memelihara Perut
Memelihara Faraj
Memelihara Tangan
Memelihara Kaki

Secara ringkasnya, hendaklah pelihara matamu itu daripada empat perkara iaitu:
Pelihara daripada melihat segala yang diharamkan
Pelihara matamu daripada melihat muda belia yang baik rupanya dengan syahwat.
Pelihara matamu daripada melihat kepada orang yang Muslim dengan menghinakan akan dia.
Engkau peliharakan daripada melihat dengan dia kepada segala aib.

Telinga, dijadikan bagimu supaya mendengar kalam Allah iaitu Al-Quran, hadis Nabi dan mendengar akan hikmah Auliya’ Allah. Maka hendaklah pelihara telingamu daripada lima perkara iaitu mendengar segala yang bid’ah yang dicela, mengumpat, perkataan yang keji, perkara yang bathil, dan pelihara mendengar daripada orang yang mengata akan kejahatan manusia.

Lidah, dengan kurniaan lidah maka perlu memperbanyakkan zikrullah dan membaca Al-Quran. Maka peliharalah lidahmu daripada perkara seperti berdusta iaitu dengan bersenda-senda atau bersungguh-sungguh, peliharalah lidahmu daripada menyalahi janji, mengumpat-umpat akan orang – dan kata imam al-Ghazali Rahimahullah Ta’ala:
“ Maka mengumpat itu terlebih sangat jahat daripada tiga puluh zina di dalam Islam, demikian sudah warid di dalam hais Rasulullah S.A.W”.
Mengumpat juga dibolehkan mengikut syara’ iaitu pada enam tempat (rujuk kitab)

Sambungan yang keempat, peliharalah lidahmu daripada mira’ yakni mencela perkataan orang dengan membantahi akan dia dan membenarkan akan dirinya. Dan jidal yakni berbantah pada masalah ilmu dengan mendirikan dalil kerana hendak mengaibkan akan orang. Dan munaqasyah fil kalam, yakni membantah akan perkataan orang dan menjahilkan baginya, dan mencela bagi perkatan orang, dan memuji bagi dirinya. Kemudian peliharalah lidahmu daripada menyucikan akan dirimu dan memuji akan dia, pelihara lidahmu daripada melaknat akan sesuatu daripada makhluk Allah dan daripada memaki akan sesuatuyang dijadikan oleh Allah, peliharalah lidahmu daripada mendoakan atas seseorang daripada makhluk Allah Ta’ala dengan doa kejahatan, walaupun engkau dizalimi pun jangan mendoakan mereka dengan kejahatan. Dan terakhir, peliharalah lidahmu daripada al-mizah (bergurau-gurau), sakhriyah ( bersenda-senda), dan istihza’ bin nas (menghinakan akan manusia dengan dia dipermainkan-mainnya akan dia).

Perut, maka hendaklah engkau peliharakan akan dia daripada memakan yang haram, dan yang syubhat. Maka hendaklah engkau menuntut atau memakan makanan yang halal.

Faraj, adapun faraj itu hendaklah peliharakan akan dia daripada tiap-tiap yang diharamkan akan dia oleh Allah Taala. Dan jadikan dirimu itu seperti yang dikatakan oleh Allah Ta’ala di dalam Al-Quran, surah al-Mu’minun ayat 5 yang bermaksud:

“ Dan mereka yang memeliharakan akan faraj mereka itu melainkan atas isteri mereka itu atau gundik mereka itu, maka bahawasanya mereka itu tida cacat celanya oleh syara’ “

Tangan, adapun kedua tangan itu maka hendaklah engkau memeliharanya daripada memukul akan orang Islam dan daripada mengambil harta yang haram. Dan peliharalah kedua tangan itu daripada menyakiti makhluk Allah Ta’ala atau engkau khianat dengan keduanya itu pada amanah orang atau kepada pertaruhan orang.

Kaki, Adapun kedua kaki itu hendak kamu memeliharanya daripada berjalan ke tempat yang diharamkan oleh syariat, atau berjalan kepada orang yang zalim atau raja yang zalim.

Wallahu’alam...

BERSAMA PRESIDEN UNIVERSITI TERBUKA PTS


Bersama Puan AinonMohd
Kagum dengan penulisannya! Minat dan sedang membaca hasil karyanya tentang isi surah Yusuf.

PERTEMUAN UKHWAH BERSAMA HEWI PKPIM-UIA

Pada 1 Mei yang lalu saya berkesempatan mengadakan ziarah santai bersama adik-adik di kampus UIAM. Selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tarbiyah pada sebelah pagi di Pejabat PKPIM saya terus bertolak ke UIA untuk berjumpa adik-adik HEWI di sana. Ya, sudah lama menunggu saat untuk berjumpa dengan adik-adik HEWI di situ memandangkan sudah sekian lama tidak mengadakan perjumpaan beramai-ramai. Walaupun duduk di kampus yang sama, namun jarang sekali kami bersua untuk membincangkan hal-hal penting dalam jemaah PKPIM ini. Alhamdulillah kesempatan yang ada digunakan sebaik mungkin untuk berjump dengan adik-adik ini.

Sesi pertemuan diadakan di Surau Mahallah Halimah UIA dengan dikendalikan oleh Adik Aemy yang merupakan exco PKPIM UIA. Sesi pertemuan itu banyak membincangkan tentang isu-isu semasa, hal-hal yang berkaitan jemaah dan sebagainya. Saya sempat menyuntik semangat kepada mereka bahawa kerja dakwah ini perlu dilakukan secara jemaah, bukan fardiyah. Di samping itu, proses kaderisasi perlu diperkasakan semula memandangkan ini merupakan aspek yang penting di dalam sesuatu jemaah. Saya juga sempat mengajak mereka supaya bersama-sama partisipasi dan responsif terhadap isu-isu semasa yang melingkari masyarakat terutamanya pelajar perempuan. Selain itu juga saya mengajak mereka supaya perlunya anjakan paradigma dalam memilih bahan bacaan yang berkualiti dalam memastikan budaya ilmu itu tetap subur di dalam jiwa kita. Saya teringat kata-kata yang diucapkan oleh Prof Wan Daud semasa menziarahi rumahnya seminggu yang lepas, beliau mengingatkan kami supaya memilih bahan bacaan yang berat supaya ia dapat membantu proses intelektual kita. Tidak dinafikan bahawa bahan ilmiah yang berat ini jarang diminati, sukar difahami dan membosankan namun perlunya kita berusaha untuk memahaminya dengan membuat pengulangan bacaan. Dengan cara ini insya'Allah lama-kelamaan bahan yang begitu sukar difahami akan bertambah mudah.

Semoga selepas ini HEWI PKPIM-UIA dapat membuat perubahan yang positif!!

BEBASKAN PALESTIN

BEBASKAN PALESTIN

PROFIL DIRI

Munirah Bahari

Dilahirkan pada 18 Oktober 1984 di Kampung Telok Bakong, Perak. Merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Ilmu Wahyu & Warisan Islam dan Diploma Pendidikan di UIAM, Gombak. Sekarang bertugas sebagai pendidik di SMK (F) Besout, Sungkai. Penulis boleh dihubungi melalui emel munirahbahari@gmail.com atau YM (munirah_bahari)