KEPIMPINAN MAHASISWI DI KAMPUS

Senario hari ini menyaksikan bahawa golongan mahasiswi banyak memenuhi ruang-ruang di IPTA Awam dan Swasta. Perkara ini tidak menghairankan apabila melihat keadaan di kampus-kampus banyak dibanjiri oleh kaum wanita berbanding kaum lelaki. Perlu disedari bahawa dalam arus kemodenan serta perubahan ke arah pembangunan negara, 50% daripada golongan yang menyumbang ke arah kemajuan negara ini adalah terdiri daripada golongan wanita. Wanita juga merupakan sebahagian daripada populasi masyarakat serta mempunyai kelayakan dan pendidikan sehingga boleh menyumbang kepada negara. Sesungguhnya penciptaan wanita itu ada tujuannya sepertimana yang terkandung di dalam Surah Al- Baqarah: 30 yang bermaksud “ Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “ Aku hendak menjadikan khalifah di bumi ini”. Berdasarkan ayat tersebut, wanita juga berperanan dan bertanggungjawab mengurus, mendidik dan menjaga masyarakat dan keluarga. Kedudukan wanita selepas kedatangan Islam telah berjaya mengubah cara hidup mereka daripada ditindas dan dizalimi kepada memartabatkan kaum wanita.

Malaysia kini memerlukan lebih ramai wanita yang bekerjaya dan professional untuk memenuhi tuntutan ummah. Justeru itu kepimpinan mahasiswi di peringkat kampus amat diperlukan demi melahirkan tokoh wanita yang disegani dan memperjuangkan martabat wanita. Tidak dinafikan bahawa sudah ramai mahasiswi memegang pucuk pimpinan yang penting di peringkat kampus dan ini merupakan satu perkara yang amat positif. Mahasiswi perlu sedar bahawa alam kampus bukan sahaja tempat untuk mencapai kecemerlangan akademik malah di situ juga tempat untuk mangasah bakat di dalam bidang kokurikulum. Mahasiswi juga perlu aktif melibatkan diri di dalam apa jua program dan aktiviti yang dianjurkan di peringkat kampus dan lantang dalam menyuarakan hak mereka supaya apa yang diperjuangkan mendapat tempat di hati masyarakat. Mahasiswi perlu tampil ke hadapan dengan penuh sopan untuk mempengaruhi dasar negara terutamanya yang melibatkan soal hak, hal ehwal kebajikan kanak-kanak dan wanita. Mereka inilah yang akan menjadi pelindung dan membela nasib setiap wanita di negara ini.

Adalah menjadi harapan bagi pertubuhan wanita bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara supaya meletakkan lebih ramai wanita sebagai pembuat keputusan dan dasar dalam kerajaan pada tahun ini bagi menangani isu wanita dengan lebih cekap. Akhirnya luahan ini didengari oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil apabila baru-baru ini beliau meminta Menteri Besar dan Ketua Menteri meletakkan calon wanita dalam senarai awal calon pilihan raya akan datang. Perkara ini perlu diambil perhatian serius memandangkan selepas 50 tahun merdeka, perwakilan wanita di Dewan Rakyat hanya 9.6% dan jauh ketinggalan dengan negara lain. Manakala 12.5% dilantik sebagai ahli pihak berkuasa sektor awam, 7.6% sebagai ahli lembaga pengarah sektor swasta dan 12.1% sebagai ketua eksekutif badan berkanun. Oleh itu saranan daripada Timbalan Presiden Pertubuhan Wanita Kebangsaan (NCWO), Faridah Khalid amat wajar yang menyatakan suara wanita yang lebih ramai dan cerdik sebagai ahli Parlimen membolehkan pelbagai isu perundangan membabitkan golongan berkenaan dapat dibentuk dengan berkesan. Sesungguhnya ini adalah satu peluang keemasan kepada mahasiswi apabila diberi ruang sebagai pembuat dasar kerajaan. Mahasiswi perlu meraih peluang ini dengan mempertingkat lagi mutu kepimpinan mereka di kampus supaya dengan jumlah wakil wanita yang ramai ini dapat menghasilkan pembentukan polisi yang seimbang di negara kita terutama membabitkan wanita.

Pada ketika ini kita lihat ramai mahasiswi dipilih menjadi pemimpin di kampus kerana keupayaan mereka, bukan disebabkan untuk memenuhi kuota yang ada. Perkara ini amat positif bagi mahasiswi tetapi dari sudut lain kita boleh melihat mahasiswa berasa terpinggir. Dalam kepimpinan di sesebuah persatuan juga kita boleh lihat golongan mahasiswi menjadi golongan majoriti berbanding mahasiswa. Era sekarang menyaksikan bahawa kepimpinan itu dipilih bukan berdasarkan jantina, iaitu lelaki mesti mendahului wanita tetapi pemilihan itu berdasarkan kemampuan dan kebolehan yang dimiliki. Tidak hairanlah bahawa kita boleh lihat di mana ramai mahasiswi memegang jawatan penting di dalam sesebuah persatuan. Ramai wanita yang berpendidikan menyebabkan wanita tidak lagi menjadi suri rumah sepenuh masa seperti dahulu. Walaupun begitu peranan wanita sebagai isteri, ibu atau anak perlu diutamakan dan tidak terlalu mengejar kerjaya hidup. Pemimpin wanita Islam perlulah mengikut syariat yang ditetapkan Islam dan tidak melampaui batas syarak. Dalam bidang kepimpinan para ulama bertegas bahawa wanita tidak boleh menjadi pemimpin dalam tiga bidang iaitu Ketua Negara, imam solat( boleh menjadi imam untuk wanita sahaja) dan ketua rumah tangga.

Mahasiswi perlu ada sedar bahawa kelak mereka tidak boleh sekadar menjadi pengikut sahaja dan terpaksa bekerja keras dua kali ganda lebih keras berbanding lelaki. Mahasiswi perlu berusaha supaya mereka menjadi pemimpin wanita yang disegani dengan harapan mereka menjadi suara wanita dalam menyelesaikan kelewatan kes seperti keganasan dan jenayah ke atas wanita dan nasib wanita dapat diperjuangkan ke tahap lebih baik.

Sambutan Hari Wanita peringkat kebangsaan dilaksanakan setiap tahun sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada golongan wanita di Negara ini. Kerajaan dan pihak universiti perlu memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada mahasiswi-mahasiswi di atas segala usaha mereka di kampus iaitu dengan mengadakan Hari Wanita peringkat kampus. Diharap dengan cadangan ini dapat memberi semangat kepada mahasiswi supaya mereka lebih bekerja keras dan terus berusaha supaya dapat memainkan peranan sebagai nadi negara dan agen perubahan masyarakat di negara ini. Selain itu mahasiswi-mahasiswi di kampus perlu menjadi contoh dan tauladan yang baik kepada masyarakat di luar terutamanya golongan kanak-kanak dan remaja kerana pengaruh mereka sangat besar kepada golongan remaja dan kanak-kanak. Kita boleh lihat sekarang model yang dicontohi oleh kanak-kanak dan remaja kini terdiri daripada mereka yang bergelar penyanyi dan pelakon. Keadaan ini perlu diatasi dengan mengangkat ikon wanita sebagai model yang patut dicontohi. Oleh itu mahasiswi perlu mempersiapkan diri dengan ilmu dan akhlak supaya kelak menjadi contoh kepada masyarakat terutama remaja dan kanak-kanak.

Besar harapan negara dan masyarakat untuk melihat universiti dapat melahirkan lebih ramai kepimpinan wanita yang berkebolehan agar suara keramat mereka didengari dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan wanita.

0 comments:

BEBASKAN PALESTIN

BEBASKAN PALESTIN

PROFIL DIRI

Munirah Bahari

Dilahirkan pada 18 Oktober 1984 di Kampung Telok Bakong, Perak. Merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Ilmu Wahyu & Warisan Islam dan Diploma Pendidikan di UIAM, Gombak. Sekarang bertugas sebagai pendidik di SMK (F) Besout, Sungkai. Penulis boleh dihubungi melalui emel munirahbahari@gmail.com atau YM (munirah_bahari)