Trend Enggan Bawa Buku Teks Jadi Budaya

Trend enggan bawa buku teks jadi budaya (Berita Minggu - 8 Februari 2009)

Oleh Nurul Adlina Kamaludin, Rohaniza Idris dan Siti Nur Almizan Aripin
bminggu@bharian.com.my


PELAJAR sekolah menengah enggan bawa buku teks bukan kes terpencil.

Kebanyakan pelajar kelas corot sandang beg kosong

KUALA LUMPUR: Pelajar sekolah menengah kini berdepan trend membimbangkan, keengganan mereka membawa buku teks ke sekolah yang boleh mengundang permasalahan jangka panjang terutama dalam melahirkan masyarakat berilmu.

Trend yang membimbangkan itu diakui guru, ibu bapa serta di pihak Kementerian Pelajaran iaitu Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran.


Keengganan membawa buku bukan saja menyukarkan pembelajaran di sekolah malah buku itu juga tidak digunakan untuk rujukan di rumah.


Bagaimanapun, majoriti pelajar tidak menganggap perbuatan mereka itu satu kesalahan dan memberi pelbagai alasan termasuk malas, beg berat serta tidak sukakan guru yang mengajar subjek tertentu.

Kalangan guru dan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menganggapnya sudah menjadi satu budaya biasa di kebanyakan sekolah. Guru pula takut mendenda murid kerana bimbang ia boleh menyemai rasa benci kepada pembelajaran, selain takut dicederakan.

"Tidak membawa buku teks menjadi budaya biasa di kalangan pelajar. Malah lebih mengejutkan apabila ditanya mengapa tidak membawa buku, tanpa rasa bersalah mereka dengan selambanya menjawab, malas," kata seorang guru, Lieza Umar (bukan nama sebenar) yang mengajar di sebuah sekolah menengah di Selangor.


Malah, kata Lieza, kebanyakan pelajar, khususnya pelajar lelaki kelas corot bukan saja tidak membawa buku teks tapi datang ke sekolah dengan beg kosong tanpa buku tulis dan buku latihan.

"Ketika mula-mula mengajar dulu, saya terkejut apabila mendapati ramai pelajar memikul beg kosong sehinggakan saya terpaksa menyediakan kertas untuk mereka catat apa yang diajar.

"Tapi biasanya kertas itu akan bertukar menjadi sampah apabila saya melangkah keluar dari kelas," katanya kesal.

Lieza turut mendakwa ada segelintir pelajar yang hanya membawa buku teks subjek tertentu disebabkan takut dengan guru yang mengajar tapi ada juga yang memberi alasan tidak membawa buku sebab tidak suka guru berkenaan.

"Atas alasan tidak sukakan guru tertentu, mereka tidak bawa buku dan ada juga yang ponteng kelas hanya kerana alasan itu. Lebih mengecewakan, kami sebaliknya dipersalahkan ibu bapa jika memarahi anak mereka kerana tidak membawa buku teks. Saya juga sudah tidak berani memarahi pelajar kerana takut dicederakan.

"Pernah saya memarahi seorang pelajar lelaki dan minta dia keluarkan buku modul, tapi dia hanya memandang tajam ke arah saya membuatkan saya berasa gerun," katanya.

Seorang lagi guru, Tina Musa (bukan nama sebenar), yang berpengalaman mengajar di dua sekolah menengah di bandar Melaka, pula mendakwa perbuatan tidak membawa buku teks berlaku di sekolah bandar atau desa.

"Perkara ini bukan kes terpencil. Saya akui ia memang berlaku dan kebanyakan yang terbabit adalah pelajar lelaki menengah atas yang belajar di kelas tercorot," katanya.

Tina berkata, kesalahan itu dikategorikan sebagai masalah disiplin tapi disebabkan terikat dengan peraturan yang tidak membenarkan pelajar didenda, gejala itu sukar dibendung.

Sementara itu, beberapa pelajar yang ditemui berkata: Malaslah nak bawa buku teks. Beg berat sangat dan bahu pun sakit. Kalau bawa pun, bukannya digunakan sebab cikgu selalunya mengajar tanpa merujuk buku teks."

Mereka juga dikatakan mengikut jejak ramai rakan lain serta pelajar lebih 'senior,' yang lebih suka meninggalkan buku teks di rumah manakala kelompok lain, khususnya di sekolah satu sesi, lebih suka meletakkan buku teks di bawah meja masing-masing.

Bagi mereka, perbuatan membawa buku teks itu cuma satu bebanan, bukan kemestian biarpun menyedari ia satu kesalahan. Tidak hairanlah, biarpun dimarahi, diberi amaran serta didenda guru supaya membayar 20 hingga 30 sen bagi setiap kesalahan, ia terbukti tidak menghalang mereka mengulangi perbuatan itu.

Seorang pelajar Tingkatan Dua sebuah sekolah di ibu negara yang identitinya tidak boleh didedahkan, mendakwa perbuatannya tidak membawa buku teks bukannya sesuatu yang asing.

Biarpun menyedari perbuatan itu salah, beliau mendakwa tindakannya itu turut dilakukan ramai pelajar yang lain.

"Bukan saya seorang, tetapi ramai rakan lain berbuat demikian. Buat apa nak bawa buku kalau guru pun jarang menggunakannya kerana lebih banyak mengajar menggunakan buku rujukan dan menulis di papan hitam," katanya yang mengakui tidak membawa buku teks sejak bermulanya sesi persekolahan, awal tahun ini.

Ditanya sama ada beliau menyedari perbuatannya itu satu kesalahan, pelajar itu mengakui pernah dimarahi guru beberapa kali. Namun amaran tinggal amaran.

"Cikgu memang marah. Tapi bukan selalu cikgu periksa kami bawa atau tidak buku teks."

Beliau yang belajar di kelas tercorot mendakwa tindakannya dan rakan-rakan itu bukan satu masalah besar kerana mereka masih boleh berkongsi buku teks di sekolah.

Seorang lagi pelajar yang mengakui lebih selesa meninggalkan buku teks di bawah meja, berkata beliau memilih tidak membawa pulang buku teks selepas sering sakit bahu dan terpengaruh dengan pelajar 'senior' di tingkatan empat dan lima yang turut melakukan perbuatan itu.

"Setiap subjek mempunyai lebih daripada satu buku teks. Ini tidak termasuk buku nota, tulis dan buku kerja. Bagi subjek Bahasa Melayu misalnya, kami perlu membawa dua buku teks iaitu Pemahaman Umum, Tatabahasa, buku Komsas serta dua buku lain.

"Bagi subjek Sains pula, perlu bawa tiga buku teks, buku latihan, buku nota, buku rampaian praktikal atau makmal. Bayangkanlah itu baru dua subjek, kalau dicampur dengan buku Matematik dan subjek lain, ia memang menjadikan beg berat," katanya.

2 comments:

Hasbullah Pit February 8, 2009 at 10:40 AM  

Perlu sediakan 'locker' bagi pelajar?

Saya dulu masa sekolah tiada beg.
Buku semua tinggal di Kelas.
melainkan kalau waktu akhir itu di makmal, barulah bawa balik buku itu sahaja.

bimbit.

lanterajiwa March 13, 2009 at 10:34 AM  

salam... akak... tumpang promo tee-shirt ya... =)

T-Shirt Kenangan PERISTIWA PERDANA BULAN MAC

(1) T-SHIRT ANTI PPSMI ( RM30 termasuk biaya pos )

(2) T-SHIRT JANGAN BUNUH BAHASA IBUNDA ( RM25 termasuk biaya pos )

(3) T-SHIRT SIDANG TERGEMPAR DUN PERAK ( RM25 termasuk biaya pos )

(4) T-SHIRT KERANDA 152 ( RM25 termasuk biaya pos )

http://lantera-jiwa.blogspot.com/2009/03/t-shirt-kenangan-peristiwa-perdana.html

BEBASKAN PALESTIN

BEBASKAN PALESTIN

PROFIL DIRI

Munirah Bahari

Dilahirkan pada 18 Oktober 1984 di Kampung Telok Bakong, Perak. Merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Ilmu Wahyu & Warisan Islam dan Diploma Pendidikan di UIAM, Gombak. Sekarang bertugas sebagai pendidik di SMK (F) Besout, Sungkai. Penulis boleh dihubungi melalui emel munirahbahari@gmail.com atau YM (munirah_bahari)