Sesi persekolahan akan bermula pada 4 Januari 2009 bagi negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala pada 5 Januari 2009 untuk negeri yang lain. Setelah hampir dua bulan bercuti, pelajar-pelajar akan kembali semula ke sekolah untuk meneruskan pembelajaran. Semoga dengan bermulanya sesi persekolahan yang baru ini pelajar-pelajar telah menanamkan azam baru, semangat baru dan memperbaiki kelemahan terdahulu. Tanamkan dalam diri untuk menambah ilmu pengetahuan dan menambahkan ilmu di dada.
Memetik kata-kata daripada Saidina Ali bin Abi Talib : " Ilmu itu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga engkau dan engkau menjaga harta. Ilmu itu penghukum (hakim) dan harta terhukum. Harta itu kurang apabila dibelanjakan tapi ilmu bertambah bila dibelanjakan.
Generasi muda perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan mengurangkan aktiviti hedonisme yang kini sedang melanda anak muda kita. Sesungguhnya jika budaya cintakan ilmu telah ditanamkan sejak di bangku sekolah lagi maka akan lahirlah insan yang bersahsiah mulia dan berpengetahuan tinggi.
Pada 5 Januari 2009 saya akan memulakan tugas sebagai pendidik di SMK (Felda) Besaout, Sungkai, Perak. Sememangnya pada permulaan lagi saya telah diuji. Saya yang telah menyewa Kuaters Pendidikan Guru Besout telah menghadapi masalah pada peringkat permulaannya. Saya terpaksa bermalam dengan cahaya lilin kerana bekalan elektrik tiada walaupun saya sudah membayar wang cagaran untuk penyambungan semula. Bekalan air juga tiada namun Alhamdulillah bekalan air tangki masih ada untuk kegunaan sementara. Untuk pengetahuan, saya terpaksa datang awal ke Besout kerana kena menghadiri mesyuarat guru pada hari Sabtu. Jadi alhamdulilah Allah telah memberi kekuatan kepada diri saya pada malam tersebut kerana saya belum mempunyai kawan rumah. Tapi Alhamdulillah, syukur kepada Allah S.W.T kerana saya dapat rakan rumah yang baru dan bekalan elektrik pun telah disambungkan pada petangnya. Sesungguhnya SMK Felda Besout memang menantikan khidmat ustazah di sana memandangkan hanya terdapat seorang sahaja ustazah manakala bilangan ustaz pula saya kira sudah mencukupi. Sesungguhnya tugasan yang akan saya laksanakan sangat mencabar kerana ia berkaitan dengan pembinaan sahsiah pelajar. Semoga urusan saya di sini dipermudahkan oleh Allah S.W.T, insya'Allah.
Untuk pelajar saya di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lumpur yang bakal menghadapi Peperiksaan SPM pada tahun ini, semoga berjaya diucapkan kepada kalian semua. Doa ustazah sentiasa mengiringi kalian semua :). Dan ingatlah bahawa ibu bapa dan guru-guru mengharapkan kejayaan anda semua iaitu kejayaan di dunia dan di akhirat. Terima kasih juga atas sokongan kamu semua. Semoga Allah sentiasa memberkati dan merahmati kalian semua..
SELAMAT MENJALANI SESI PERSEKOLAHAN SESI 2009
Posted by
Munirah Bahari
Saturday, January 3, 2009
1 comments:
chaiyok3..!
=)
Post a Comment