PENGENALAN
Kehidupan wanita Islam dari hari ke hari semakin baik dalam bidang politik, sosial, ekonomi, pekerjaan, hak asasi dan sebagainya. Wanita semakin berjaya, berani dan mampu bersuara demi memperjuang dan mempertahankan haknya. Antara isu yang sering menarik perhatian dan menjadi salah faham serta serangan golongan anti Islam adalah berhubung dengan isu wanita. Isunya pelbagai tetapi temanya sering sama iaitu berkaitan dengan penindasan, diskriminasi, keganasan, ketidakadilan dan tiada kebebasan yang diberikan kepada wanita Islam dalam menjalankan kehidupan mereka. Skop isu yang akan dibincangkan ialah berkaitan dengan isu hijab, kerana isu ini masih relevan untuk diperkatakan. Islam menjaga kehormatan wanita dengan mewujudkan satu sistem hijab yang merangkumi antara lain garis panduan pakaian menutup aurat dan menjaga pandangan dan batas-batas pergaulan untuk mengatur interaksi antara lelaki dan perempuan dalam masyarakat.
Perihal kewajiban menutup aurat telah dijelaskan secara terperinci oleh Allah dalam surah An Nur ayat 31 bermaksud:
“ Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, supaya menyekat pandangan mereka ( daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka…..”
Selepas kedatangan Islam, kedudukan dan martabat wanita dipelihara dengan mengambil hikmah kewajipan berhijab iaitu menjaga kesucian, maruah dan memelihara moral masyarakat.
Pakaian merupakan lambang maruah dan kehormatan wanita. Namun apa yang terjadi sekarang kita boleh lihat berlakunya penindasan terhadap golongan wanita Islam dari segi sudut etika pakaian, lebih-lebih lagi mereka yang merupakan kelompok minoriti di sesebuah negara. Di dunia ini kita boleh lihat senario yang berlaku kepada wanita Islam yang berhijab. Iaitu ada di antara mereka yang ditindas, dipuji, dilabel sebagai pengganas dan sebagainya. Ada setengah pendapat menyatakan bahawa wanita yang berhijab ini sangat kesian, bukan wanita Islam sahaja malah golongan sister di dalam gereja juga digolongkan sebagai manusia yang kasihan dengan memakai kerudung di kepala!
Artikel Nasim Ahmad (2004) yang bertajuk “Hijab and The West” banyak menyentuh tentang larangan hijab yang dilakukan ke atas wanita Muslim di negara minoriti iaitu di sekitar Eropah. Beliau turut menyentuh tentang isu larangan memakai hijab di Perancis yang mana telah mencetuskan demonstrasi besar-besaran oleh umat Islam di seluruh negara. Banyak negara Islam yang bangkit, membantah usul yang dikemukakan oleh kerajaan Perancis termasuklah Ikhwan Muslimin Mesir, Iran, Pakistan, Algeria dan banyak lagi negara-negara Islam.
Nasim Ahmad menyatakan bahawa Barat amat membenci kepada golongan yang berhijab ini terutamanya wanita Muslimah. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh Barat bagi menghalang usaha wanita Islam memakai tudung, contoh yang jelas berlaku di negara Perancis. Harun Yahya (2004) di dalam makalahnya “ Why is France Affraid of Religion?” menyatakan bahawa Perancis bukan sahaja takut kepada Islam dan Yahudi tetapi juga Kristian kerana kejadian yang berlaku semasa Revolusi Perancis.
Kita boleh lihat Barat banyak melakukan penindasan terhadap golongan wanita Islam yang berhijab ini. Memang tidak dinafikan, kaum Kafir sentiasa mencari peluang untuk menghancurkan Islam. Sejarah telah menunjukkan bahawa sejak zaman Rasulullah S.A.W, musuh Islam sentiasa mencari peluang menghancurkan Islam dalam apa jua keadaan. Semangat yang berkobar-kobar ini kian memuncak sejak kekalahan mereka di dalam perang salib. Dendam perang salib ini menjadi suatu yang mengakar di masyarakat Eropah. Itulah sebabnya kita boleh lihat sehingga ke hari ini, orang bukan Islam sentiasa mencari jalan untuk menhancurkan Islam. Tetapi apa yang menyedihkan ialah masih ramai di kalangan orang Islam yang masih ‘tidur’ dan tidak menyedari akan tindakan orang bukan Islam yang menyerang Islam terutama melalui ‘qazwatul fikr’.
PENINDASAN KEPADA WANITA BERHIJAB
Tahukah wanita Islam, bahawa di Barat, tudung atau hijab dianggap sebagai simbol penindasan dan merendahkan martabat wanita? Wanita Islam dilihat sebagai tertindas dan tidak bebas dengan mengenakan pakaian yang sopan dan menutup aurat. Tetapi, Barat tidak tahu bahawa Islam tidak pernah menindas mana-mana gender, baik lelaki mahupun wanita. Wanita Islam sebenarnya tidak ditindas oleh agama dan masyarakat Islam tetapi tertindas dan dipinggirkan oleh masyarakat Barat sendiri. Kenyataan ini jelas menerusi beberapa peristiwa penindasan terhadap wanita Islam yang menetap di kelompok minoriti Islam.
Penindasan ke atas wanita hijab ini sering berlaku di negara-negara Eropah seperti Perancis, Jerman, Sweden, Norway, Belgium dan Turki. Kita boleh lihat contoh yang berlaku kepada dua orang pelajar wanita Islam di Perancis pada tahun 1989, di mana mereka telah dibuang sekolah disebabkan hanya memakai hijab ( Safia: 2004). Selain pengharaman pemakaian hijab di sekolah, pengharaman turut berlaku di pejabat, dalam gambar passport, dan di tempat-tempat awam. Rijai Al-Jehani (2004) dalam artikelnya “A Thinly Veiled Attack on Islam” menyebut bahawa kerajaan Perancis ingin menghapuskan simbol-simbol agama ini di sekolah, pejabat dan di tempat-tempat awam sehingga memaksa golongan Muslimah memilih samaada untuk kekal di negeri atau agama mereka. Muslimah ini terpaksa mencari sekolah swasta atau belajar di rumah untuk meneruskan pembelajaran mereka. Berdasarkan keadaan ini, kita boleh lihat kerajaan Perancis mengamalkan dasar sekular iaitu ingin memisahkan agama di dalam kehidupan mereka. Keadaan ini berlaku di kebanyakkan negara-negara Eropah. Mereka ini terpaksa menempuh pelbagai cabaran daripada pihak yang menindas.
Selepas kejadian 1989, masyarakat digemparkan juga dengan pengharaman pemakaian tudung kepada pelajar siswi Islam di sekolah dan institusi pendidikan tinggi pada tahun 2004 di Perancis. Tindakan Perancis itu telah menggemparkan dunia, terutamanya melanggar hak asasi manusia lebih-lebih lagi wanita apabila mengharamkan penuntut wanita Islam untuk berhijab atau menutup aurat ke sekolah dan institusi pengajian. Jika kita amati secara terperinci, jelaslah bahawa Barat sebenarnya takut dengan Islam itu sendiri dan sebenarnya mereka menyatakan semua agama bebas beragama, namun pada sudut lain mereka melarang pemakaian hijab yang merupakan kewajipan ke atas muslimah. Di manakah hak asasi mereka?
Penindasan ke atas golongan wanita bertudung ini bukan sahaja berlaku di Perancis, malah turut berlaku di Jerman di mana kerajaan Jerman juga mengharamkan pemakaian tudung kepada wanita Islam . Penindasan ini berterusan dan berlaku kepada Shabina Begum pada tahun 2005. Shabina Begum merupakan pelajar Denbigh, London yang dilarang ke sekolah setelah mempertahankan jilbabnya. Namun apa yang kita boleh contohi ialah kegigihannya mempertahankan Islam dengan membawa isu ini ke mahkamah dan akhirnya kemenangan berpihak kepadanya. Sejak itu bermulalah episod baru kepada wanita Islam di United Kingdom, di mana pengharaman tudung ditarik balik di sekolah-sekolah.
Negara Turki juga tidak terlepas dalam melaksanakan dasar sekularisme ini di negaranya. Sejarah menyaksikan kejatuhan empayar Turki Islamiyah pada tahun 1924 menyebabkan Islam ditindas dan mengalami kejatuhan yang teruk. Menurut Adi Ngah Putra (Aniqah, Mar 2008),
“ Pemerintahan Mustafa Kamal Attartuk yang mengubah corak Islamiyah kepada sistem sekular menyebabkan berlakunya perubahan kepada negara tersebut. Kamal Attartuk menafikan hak majoriti Islam malah melindungi pula hak kaum minoriti yang beragama Kristian dan Yahudi menerusi perjanjian antarabangsa. Pemimpin sekular itu telah mengharamkan pakaian kebangsaan bagi wanita Turki ‘sharshaf’ (seperti abayah hitam), tulisan arab ditukar ke bahasa Latin, azan ditukar kepada bahasa Turki dan pengharaman pemakaian hijab di kalangan anak-anak gadis yang pergi ke sekolah agama. Pada tahun 1980, mahasiswa yang belajar di universiti diharamkan memakai hijab dan bagi siswa berjanggut tidak diberi tempat untuk belajar”.
“ Pemerintahan Mustafa Kamal Attartuk yang mengubah corak Islamiyah kepada sistem sekular menyebabkan berlakunya perubahan kepada negara tersebut. Kamal Attartuk menafikan hak majoriti Islam malah melindungi pula hak kaum minoriti yang beragama Kristian dan Yahudi menerusi perjanjian antarabangsa. Pemimpin sekular itu telah mengharamkan pakaian kebangsaan bagi wanita Turki ‘sharshaf’ (seperti abayah hitam), tulisan arab ditukar ke bahasa Latin, azan ditukar kepada bahasa Turki dan pengharaman pemakaian hijab di kalangan anak-anak gadis yang pergi ke sekolah agama. Pada tahun 1980, mahasiswa yang belajar di universiti diharamkan memakai hijab dan bagi siswa berjanggut tidak diberi tempat untuk belajar”.
Akhirnya sinaran cahaya baru kembali setelah lebih kurang 83 tahun rohani wanita Islam di Turki terseksa oleh peraturan zalim manusia yang berpegang pada sekularisme. Pada bulan Februari 2008, sejarah permulaan pemulihan semula Islam di Turki telah tercatat apabila media massa melaporkan bahawa parlimen negara itu telah meluluskan pindaan perlembagaan yang menarik balik perintah pengharaman ke atas pemakaian hijab di universiti. Dengan penarikan pengharaman itu, maka gadis-gadis siswi kini akan dapat balik ke pusat pengajian tinggi dan menyambung pelajaran mereka. Sesungguhnya ini adalah disebabkan kesabaran mereka di samping tidak jemu memohon pertolongan daripada Allah S.W.T. Sesungguhnya apabila melihat situasi ini, kita sangat bersyukur kerana akhirnya Islam itu mulai bersinar di sana. Mungkin kita sebagai rakyat Malaysia perlu mengambil ikhtibar daripada isu ini.
REALITI DI MALAYSIA
Negara Malaysia tidak terlepas daripada penindasan terhadap golongan wanita berhijab ini. Realiti yang berlaku ialah golongan ini didiskriminasikan di dalam sektor pekerjaan. Kita boleh lihat apabila wanita bertudung memohon kerja di bidang perhotelan, penyiaran dan di sektor-sektor swasta seringkali ditolak permohonannya dengan alasan mereka bertudung. Situasi ini berlaku apabila seorang guru di sebuah sekolah agama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Sentang di Pahang yang telah menggunting tudung labuh pelajarnya seramai 65 orang kerana tidak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh mereka (Utusan Malaysia, 25 Februari 2006). Begitu juga nasib seorang wanita, Habsah Jaafar yang telah dibuang kerja oleh majikannya, Hotel Renaissance. Alasannya kerana wanita itu tidak dibenarkan bertudung semasa bekerja (Utusan Malaysia 27 Februari 2006).
Kita boleh lihat dalam konteks Malaysia, sesetengah masyarakat kita lebih mementingkan wanita yang berpakaian seksi berbanding mereka yang menutup aurat seperti yang berlaku kepada pramugari dan lain-lain lagi. Namun yang musykilnya ialah mengapa mereka meletakkan kaum lelaki (pramugara) dengan pakaian menutup aurat. Mengapa tidak sahaja diwajibkan dengan memakai seluar pendek?! Jelaslah bahawa manusia sudah tidak tahu erti batasan aurat yang perlu diperjuangkan. Hal ini perlu dikaji dan diteliti, pihak-pihak bukan kerajaan pula perlu menggesa pihak berkuasa untuk merubah etika pemakaian di samping menghapuskan diskriminasi terhadap wanita di dalam sektor pekerjaan. Hal ini bertepatan dengan apa yang diperkatakan oleh Exco Peguam Syarie Malaysia, Nur Hidayah Muhd Hashim di dalam rencananya di Berita Harian bulan Februari 2008. Beliau menyatakan bahawa Malaysia berdepan dengan beberapa permasalahan membabitkan kod berpakaian tidak membenarkan wanita Islam memakai pakaian sopan menutup aurat seperti dilaksanakan beberapa syarikat besar di negara ini. Contohnya, syarikat penerbangan tambang murah yang terkenal mensyaratkan pakaian yang sopan untuk pekerja lelaki, tetapi sangat terdedah, sendat dengan skirt pendek yang tidak bersesuaian nilai ketimuran bagi pekerja wanitanya.
MASALAH DAN CABARAN TERHADAP WANITA BERHIJAB
Apabila melihat isu wanita berhijab ini, mereka seringkali dikaitkan dengan keganasan. Adakah perkara ini benar? Barat seringkali dengan sewenang-wenangnya melabelkan seseorang itu tanpa hujah dan hanya berlandaskan emosi dan hawa nafsu. Kita boleh lihat juga contoh yang lain di mana Barat menggelarkan Islam sebagai terroris sedangkan Islam menganjurkan umatnya keamanan dan kasih sayang. Bagaimanakah dengan berhijab boleh melakukan keganasan? Tudung bukan simbol penindasan kepada wanita. Walaupun dari segi rasionalnya, pemakaian tudung melambangkan nilai kemuliaan dan kehormatan, Islam memandang dan meletakkan nilai tudung lebih daripada yang disarankan oleh agama lain.
Ini kerana tudung dalam konteks Islam telah terkandung di dalam al-Quran dan pemakaiannya bukan sekadar sebagai hiasan kepala.Apa yang boleh kita perhatikan ialah mereka yang memakai hijab ini dikurniakan hidayah Allah dan bagaimana mungkin mereka boleh bertindak di luat batasan. Namun tidak dinafikan bahawa wanita berhijab ini juga seringkali memaparkan akhlak yang kurang menyenangkan. Ini adalah cabaran kepada mereka yang berhijab.
Situasi di Malaysia menyaksikan berlaku kekeliruan makna di dalam konsep hijab. Mereka menyangka dengan berhijab mereka sudah menutup aurat sedangkan pakaian mereka masih ketat dan pendek, seluar singkat dan sebagainya. Mereka harus sedar akan konsep menutup aurat bukan sahaja terletak hanya menutup kepala sahaja malah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Kesedaran ini perlu diberikan kepada wanita – wanita Islam di luar sana supaya mereka jelas tentang konsep menutup aurat di dalam Islam. Seharusnya mereka tidak patut memalukan golongan yang bertudung dengan melakukan perkara sebegini! Bak kata pepatah kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
Masyarakat hari ini kebanyakkannya melihat wanita yang berhijab ini tidak mampu ke hadapan dan tidak boleh menempatkan diri di dalam perkara-perkara tertentu. Contohnya masyarakat memandang wanita berhijab tidak boleh aktif bersukan. Andaian ini adalah tidak benar sama sekali kerana wanita Islam mampu bersaing di persada antarabangsa. Ruqaya al-Ghasara, pemenang Pingat Emas 200m Sukan Asia Doha 2006 menyatakan bahawa memakai hijab tidak menghalang beliau di dalam bidang sukan malah ia telah menggalakkannya. Oleh itu, kita perlu mengubah persepsi masyarakat yang melihat bahawa wanita berhijab tidak mampu menceburi dan menguasai bidang sukan.
Penghayatan pemakaian tudung mengikut syarak oleh wanita Islam di Malaysia amat kurang. Sudah menjadi trend di Malaysia bahawa mereka melihat pemakaian hijab sebagai satu fesyen, bukan lagi satu tuntutan.
Teliti dan hayati suruhan Allah dalam surah An-Nur, ayat 31:
“....dan hendaklah mereka (wanita beriman) menutup kain tudung mereka ke paras dada..”
KESIMPULAN
Umat Islam perlu mengubah mentalitinya yang memandang bahawa Islam tidak mampu mencapai kemajuan dengan berhijab. Menurut Khalif Muammar (2007) di dalam artikelnya “ Pembangunan Semula Tamadun Islam: Halangan dan Cabarannya Dalam Konteks Alam Melayu” menyatakan bahawa mentaliti hamba adalah halangan yang besar dalam usaha memajukan suatu bangsa. Adalah suatu yang lumrah suatu bangsa yang terjajah memiliki kepercayaan terhadap diri yang rendah.
Pembangunan semula tamadun Islam menuntut wanita Islam yang berhijab supaya merubah watak mereka, daripada watak yang pasrah, takut dan berjiwa hamba kepada watak yang kritis, bebas dan berani melakukan perubahan.
Kita perlu menghalang ilmuan diabolik ( perwatakan ala iblis/ jahat) ini daripada melakukan penindasan terhadap golongan wanita Islam. Cadangan Khalif Muammar (2007) agar projek pencerahan dan pemerkasaan minda dan jiwa umat Islam perlu dilakukan secara besar-besaran. Bermula dengan ilmu dan diiukuti dengan amal, semua pihak perlu sedar akan tanggungjawab masing-masing; tanggungjawab ilmuawan yang tercerahkan ( enlightened scholars ) untuk menyedarkan dan membimbing masyarakat ; tanggungjawab masyarakat untuk mengikuti dan mendukung; dan tanggungjawab pemerintah untuk pemerintah untuk mendengar dan melaksakan. Besarlah harapan semoga wanita Islam terus terbela daripada penindasan.
Justeru, usaha yang berterusan diperlukan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat Islam yang kurang pengetahuan tentang konsep hijab dan pemakaian menurut Islam. Dalam kes sebegini, kita mendesak pihak kerajaan dapat memberi teguran dan NGO yang mengetengahkan isu hak asasi manusia wajib berlaku adil dengan memberi bantuan serta sokongan kepada isu beramal dengan ajaran Islam termasuk memberi sokongan moral terhadap isu wanita mualaf, juga isu tudung di negara Turki.
1 comments:
salam,saya pernah melihat sendiri bagaimana seorang wanita muslim kene paksa tanggalkan hijab oleh org muslim sendiri!!! mmg sedih waktu.
kedua isu tutup aurat yg sempurna,ini kasih kawan saya sendiri,pakai tudung dah ok,disebabkan kene pakai uniform kemeja lengan pendek. jadi dier pun pakailah sarung lengan. tapi org islam sendiri tu aka bos kecik kunun disuruh tanggalkan sarung lengan. banyak sangat kes wanita islam kene ditindas bila nak pakai pakaian yg mmg tutup aurat ikut lunas islam. tapi malangnya amat kurang pertubuhan wanita islam bersuara mengenainya.. lagi-lagi isu poligami.. adakah islam itu pasal poligami jer..mmm.. harap mereka yg bergelar wanita islam turun membela wanita islam yg mmg benar-benar inginkan islam terus subur dibumi malaysia tercinta.
Post a Comment