Coretan terkini..

Sudah lama saya tidak menulis. Sangat lama sehinggakan saya jadi malu dengan diri sendiri. Ingin berkongsi coretan, pengalaman serta pandangan peribadi untuk bacaan pengunjung sekalian.

Saya ingin mengajak pembaca bersama-sama mendengar Tafsir Quran setiap Isnin hingga Jumaat jam 6.30 pagi di radio IKIM.fm. Isi dan kupasan yang sangat jitu oleh Ustaz Hj Zahazan sangat bagus untuk didengari. Apatah lagi dengan tugasan kita yang banyak dan sentiasa sibuk ini kita jarang untuk meneliti dan membelek tafsir-tafsir muktabar. Saya yang mempunyai Tafsir Ibnu Kathir pun boleh mengira berapa kali saya membacanya!. Justeru itu, sebagai langkah untuk meningkatkan ilmu, saya akan memastikan diri saya tidak terlepas untuk mendengar siaran tersebut. Walaupun waktu tersebut merupakan waktu puncak saya membuat persediaan dan persiapan untuk ke sekolah, namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk mendengar. Kadangkala, semasa di dapur dan sedang menyidai kain pun saya terpaksa membesarkan cuping telinga untuk mendengar kuliah tersebut. Jika ketinggalan saya akan memastikan diri saya mendengar siaran ulangannya jam 8.00 malam. bagus kupasan yang dihuraikan oleh ustaz Zahazan kerana beliau merupakan antara ustaz yang terkenal dengan ketokohannya dalam bidang Tafsir Al-Quran di Malaysia. Suaranya yang lembut,bersahaja dan kadangkala tegas berjaya menusuk ke dalam hati. Ayuh, mari kita sama-sama mendengar kuliah yang disampaikan oleh Ustaz hj Zahazan.

Sebulan dua ini merupakan masa yang sangat genting bagi saya. Pelbagai ujian datang menimpa saya. Seharusnya segala ujian dan musibah itu perlu dilihat daripada sudut yang positif dan kita perlu memikirkan adanya hikmah yang tersirat di sebalik kejadian yang menimpa. Islam pun mengajar umatnya supaya tidak mengeluh, berputus asa dan menyalahkan takdir apabila ditimpa sesuatu musibah, ujian dan kecelakaan. Hadapinya dengan menyebut istirja', sabar, dan doa. Memang tidak dinafikan, sesuatu ujian yang datang itu sangatlah perit dan menyedihkan. Sehinggakan diri ini menangis sendirian memikirkan ujian yang diberikan. Namun, di sebalik kejadian itu saya memikirkan bahawa Allah ingin menguji hambaNya dan menyedarkan kepada saya akan kelalaian saya kepada Allah. Saya bersyukur kerana dengan ujian yang menimpa saya semakin menyedarkan saya lantas mendekatkan diri kepada Allah. Senyumlah pada sinar dan kebahagian yang akan datang =).

Semua guru-guru di sekolah kini sedang giat mengumpulkan markah dan mengemaskini markah PBS ( Penilaian Berasaskan Sekolah ) pelajar. Tidak ketinggalan juga saya! Dalam menyiapkan tugasan ini, timbul perasaan letih, penat, sedih, gembira dan sebagainya. Amat menyedihkan saya apabila majoriti pelajar Islamnya tidak boleh membaca Al-Quran, tulisan Jawi, tidak solat. Saya ingin membantu mereka, saya menawarkan masa saya untuk mengajar mereka, membimbing mereka agar boleh mengenal ayat Al-Quran. Namun apa yang saya terima? Tiada seorang 'volunteer' yang nak jumpa saya. Apa yang membuat saya marah dan geram ialah, dahlah tidak pandai mengaji, tidak solat, tapi angkuh dengan diri yang berlagak seperti tahu sahaja. Alahai..baca 3 kul pun tidak boleh.Bila dinasihati, dipujuk hanya main-main tiada perasaan serius dalam diri. Apabila dinasihati bagaikan angin lalu sahaja. Menjawab dan susah nak diterima..Kadangkala saya sangat takut. Niat saya untuk mengajar sebaik mungkin, namun apabila pelajar kurang sopan dan biadap menyapa sewaktu pengajaran menbuatkan tahap kesabaran itu tercabar. Apabila kesabaran itu melepasi hadnya, saya terus berselawat dan memanjatkan doa di dalam hati. Itupun pelajar mengejek. Ya Allah! Memang sebahagian pelajar sekarang tidak mengasihani gurunya apatah lagi guru perempuan yang sangat sukar untuk marah. Memang tugas memanusiakan manusia ini sangat mencabar dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Apatah lagi untuk membentuk pelajar yang bersahsiah tinggi. Apa yang mampu hati ini lakukan ialah memanjatkan doa kepada Allah agar mereka dilembutkan hati yang keras, diberikan kefahaman dan mendengar kata, InsyaAllah.


GEJALA PEMBUANGAN BAYI, BILAKAH KESUDAHANNYA?

(Artikle ini ditulis oleh bekas anak murid saya. Beliau adalah bekas pelajar SMK Agama Kuala Lumpur. Sekarang menunggu tempat untuk melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah Sarjana Muda)

Kebelakangan ini, isu pembuangan bayi hangat diperkatakan di kaca televisyen dan di dada-dada akhbar. Suatu ketika dahulu isu ini hangat dikatakan, kemudian ia kembali senyap dan kini isu ini kerap berlaku dan sukar untuk dibendung lagi. Setiap hari ada sahaja kes pembuangan bayi di dada-dada akhbar. Malah, kes penderaan kanak-kanak turut mendapat perhatian. Apatah lagi selepas kempen ‘Kami Prihatin’ dilancarkan baru-baru ini, masih terdapat juga kes pembuangan bayi yang dilaporkan. Terkini, berlaku di Hulu Selangor di mana bayi ditemui dalam timbunan sampah! Gejala yang berlaku sekarang iaitu buang bayi macam buang sampah sarap sahaja seolah-olah bayi tersebut tiada nilai dan nyawa.

Inilah yang berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini. Maksiat dan aktiviti seksual bebas berlaku dimana-mana tanpa ada perasaan segan silu. Pada tahun 2003, amalan seks luar nikah di kalangan remaja Malaysia mencatatkan purata 62 kali setahun.Kebanyakannya adalah remaja yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Ini terbukti apabila statistik daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sejumlah 50 kes buang bayi dicatatkan sepanjang Januari hingga September 2008 dengan pasangan Melayu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 36 kes. Mereka seolah-olah tidak mengenal dosa dan akibat buruk perbuatan itu. Ingatlah bahawa, anak yang dilahirkan itu bukan atas kehendak mereka malah,mengikut nafsu serakah yang mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan akibatnya.

Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Selangor mencatatkan 105 kes pembuangan bayi manakala statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula merekodkan 3,234 kes penderaan kanak-kanak. Secara keseluruhannya, 407 kes direkodkan berkaitan pembuangan bayi dan 10,758 kes penderaan kanak-kanak dan bayi dicatatkan sejak lima tahun lalu.

Hal ini menunjukkan kes pembuangan bayi semakin meningkat dan sukar dibendung. Apakah kita mahu digelar masyarakat yang tidak bertamadun dan tidak berperikemanusiaan? Zaman jahilliyah dahulu,bayi perempuan dibunuh dan ditanam hidup-hidup untuk menutup malu dan mempertahankan maruah keluarga semata-mata. Tetapi,lihatlah zaman sekarang ini,bayi yang tidak berdosa dibuang begitu sahaja tanpa rasa belas kasihan demi mempertahankan maruah dan hanya kerana mahu menutup aib sendiri.

Islam melarang perbuatan pembuangan dan pengguguran bayi. Ianya merupakan dosa besar kerana membunuh dengan niat sebagaimana yang telah disebut dalam Al-Quran surah An-Nisa' ayat 93:

Maksudnya:
"Dan sesiapa yang membunuh mukmin dengan sengaja maka balasannya neraka jahanam, kekal dia didalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknat akannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar".

Mari kita duduk semeja,berbincang dan bermuhasabah diri. Apakah faktor yang menyebabkan berlakunya gejala tidak bermoral ini? Pendidikan bermula daripada rumah. Ibu bapa telah memberi didikan agama yang sempurna kepada anak-anak tetapi apabila meningkat dewasa mereka membuat haluan sendiri. Maka,pokok pangkalnya salah remaja yang memilih haluan yang salah. Antara faktor lain ialah keteguhan iman masing-masing. Jika diri sentiasa dalam keadaan keimanan yang teguh maka perbuatan ini tidak akan berlaku. Oleh itu, hiasilah diri dengan didikan agama yang sempurna sejak kecil.

Tidak dapt dinafikan,kecanggihan teknologi kini seperti internet dan telefon bimbit serta kemajuan media elektronik seperti VCD lucah,program-program hiburan mendorong remaja ke arah kemaksiatan. Pengawalannya perlu diambil perhatian oleh ibu bapa agar diri anak-anak sentiasa diawasi. Namun,segalanya datang dari remaja itu sendiri kerana perubahan bermula dari kesedaran diri. Tiada siapa yang mampu mengubahnya.

Justeru,masalah ini tiada penghujungnya jika tiada kesedaran masyarakat untuk mengubah sikap mereka yang kejam malah lagi kejam dari binatang. Sepertimana firman Allah dalam surah Al-A'araf ayat 179.

Maksudnya:
"Sesungguhnya kami jadikan untuk isi neraka jahanam kebanyakkannya daripada jin dan manusia,mereka mempunyai hati (tetapi) tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat allah), mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakan untuk melihat (bukti keesaan allah) dan mereka mempunyai telinga(tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ajaran dan nasihat). Mereka itu seperti binatang ternakan,bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai".

Pelbagai saranan telah dikemukakan untuk membendung masalah ini setiap kali isu ini diperkatakan. Apa yang penting ialah kesedaran dalam diri sendiri tentang dosa dan pahala. Jika perkara ini telah difahami, isu ini tidak akan berlaku. Menyokong penuh saranan yang dikemukakan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) baru-baru ini, iaitu meminta kerajaan mengkaji dan meminda undang-undang sedia ada agar hukuman setimpal dikenakan ke atas lelaki yang berzina. Kesimpulannya didikan awal yang diberikan di rumah sangat penting untuk membentuk peribadi dan tingkah laku kanak-kanak agar tidak terpengaruh dengan anasir-anasir buruk.

Nurul Athirah binti Ramli

BUANG BAYI LAGI..

Mayat bayi lelaki cukup sifat yang dibuang di dalam timbunan sampah di Sungai Choh, Hulu Selangor, semalam.


Astaghfirullahalazim! Mohonlah taubat dan keampunan kepada Allah bagi mereka yang melakukan perbuatan keji dan terkutuk ini. Masalah pembuangan bayi semacam sudah menjadi 'trend' di kalangan masyarakat di Malaysia. Sepatutnya jika kempen kesedaran dan pelbagai aktiviti telah dijalankan, isu pembuangan bayi sudah tidak timbul. Namun amat menyedihkan dan mendukacitakan apabila timbul lagi kes pembuangan bayi pada hari ini. Kes kali ini pula berlaku di Hulu Selangor. Apalah salah bayi yang tidak berdosa itu yang hanya ingin menikmati hidup di dunia ini. Tidakkah mereka takut akan azab Allah di akhirat kelak?

Mayat bayi dalam timbunan sampah (Utusan Malaysia, Isnin 12 April 2010)

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm


Sokong dengan cadangan PGSM agar lelaki yang melakukan zina juga dikenakan hukuman.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_03.htm



BUKU OH BUKU

Kisah menarik untuk dihayati


Buku-buku sastera lama. Sangat murah harganya

Buku ini untuk dijual bukan sebagai simpanan

Buku yang menarik untuk kanak-kanak



Kerana terlalu sangat suka kepada buku maka pada bulan Mac 2010 saya banyak menghabiskan duit saya untuk membeli buku. Mungkin ada kawan yang mempersoalkan pada saya, " Bila la kamu nak habiskan buku yang banyak tu..ada ke masa?". Kawan, buku yang dibeli ini bukanlah dalam masa sebulan untuk dihabiskan bacaannya. Ya, saya akui saya sibuk tetapi saya sangat suka membeli buku dan membaca buku. Sehinggakan kadangkan sempena hari lahir kawan saya pun saya akan menghadiahinya buku. Itulah tabiat saya. Bagi saya, saat yang paling bahagia adalah pabila saya dapat meluahkan dan berkongsi apa yang saya baca kepada rakan-rakan saya. Bahagia juga hati ini apabila dapat mengesyorkan kepada kawan-kawan buku-buku yang wajar dibaca dan meminjamkan kepada mereka buku saya. Tapi awas!!! Jikalau buku saya hilang nahaslah mereka itu. Saya akui saya bukan orang yang pakar dalam memilih buku, tetapi untuk memilih buku-buku yang terbaik maka anda perlulah berkawan dengan 'orang buku'. Mengimbau saat manis ketika berada di universiti dahulu apabila masa usrah, kami akan menziarahi tokoh-tokoh ilmuan, mendengar perbahasannya dan berkongsi ilmu dengannya. Perkara yang mesti dilawati apabila menziarahi rumah tokoh ialah melawat mini pusat sumbernya.

Saya membeli buku sebagai bahan bacaan saya dan buku ini adalah untuk kegunaan sepanjang hayat saya. Ia sebagai sumber rujukan kala diperlukan. Saya gembira dapat membeli Tafsir Ibnu Kathir 10 jilid, Ensyiklopedia Wanita 2 jilid, Kisah sahabiyah Rasulullah S.A.W dan banyak lagi dengan harga yang murah!! Bayangkan sudah lama hati ini ingin memiliki kitab Tafsir yang muktabar dan akhirnya Allah makbulkan doa saya ini. Syukur alhamdulillah.

Tabiat saya apabila mendapat buku baru pula adalah akan mencium bau buku tersebut! Ah, mungkin pelik..tetapi saya suka akan bau buku :)

Alhamdulillah, jika di sekolah saya akan cuba mengesyorkan buku dan majalah yang wajar dibaca. Kadangkala kemungkinan kawan-kawan saya tidak berkesempatan untuk melihat dan mengetahui tentang isu yang dikemukakan. Dan saya sangat bahagia apabila mereka membeli, membaca dan memberikan respon yang positif!
" Ya Allah ya Tuhanku, Engkau tambahkanlah kepadaku kefahaman dalam agama, tambahkanlah ilmuku dan jauhilah aku daripada ilmu-ilmu yang melalaikan"

IQRA'


Al-Quran Karim & Terjemahan edisi anak. Baguslah..sudah ada edisi untuk kanak-kanak. Ini lebih mudah untuk mengajar anak-anak nanti




Kanak-kanak ini tertarik dengan naskah Al-Quran yang besar ini


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani ( Surah Al-'Alaq ayat 1-5 )

(1) Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)
(2) Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku
(3) Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah;
(4) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan;
(5) Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.





BLOGKU SUDAH BERSARANG



Diri ini mula menekan papan kekunci huruf-huruf di laptop bagi menyusun ayat untuk dimuatkan di dalam blog ini. Sungguh lambat untuk memulakan bicara apabila masih memikirkan apa yang ingin saya persembahkan. Hampir 4 bulan blog saya tidak dikemaskini. Saya pun tidak tahu mengapa. Sibuk? tiada masa? malas? atau sebaliknya. Inilah yang akan berlaku kepada saya apabila blog sudah lama tidak dikemaskini, dan ia akan berlarutan lamanya sehingga semangat untuk menulis kembali lagi. Memang sukar bagi saya untuk memulakan penulisan dan mengemaskini blog yang sudah 'bersarang' ini. Mungkin orang akan bertanya, cuti sekolah buat apa? kan ada banyak masa? Maaf teman, cuti selalu dimanfaat membantu menguruskan atuk yang sudah uzur bersama-sama adik beradik yang lain, membantu ibu bapa dan lain-lain hal. Masa kelapangan itu biasanya ada iaitu pada waktu malam. Namun, menjadi tabiat saya sejak dahulu lagi iaitu sejak di asrama, matrikulasi dan di universiti untuk tidur awal. Kecuali perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan maka saya akan bersengkang mata untuk tidur lewat.huhu..

Bila tiada cuti, adakah saya sibuk? Erm.. mungkin juga. Ditambah dengan kepenatan kerja di sekolah maka suasana dan 'mood' untuk menulis itu kurang. Namun semuanya ini mungkin alasan yang tidak boleh diterima kan. Apa-apa pun saya akan kembali mengemaskini blog saya apabila langkah permulaan itu sudah dimulakan. InsyaAllah akan cuba bergiat aktif mengemaskini blog pada masa akan datang. Mohon doa kawan-kawan.

Isu blog 'bersarang' ini timbul apabila saya bertemu dengan teman-teman seperjuangan di Shah Alam kerana menghadiri program ceramah. Sewaktu duduk semeja untuk makan malam kawan terus menyoal, " Mun, blog sudah bersarang tu..bila nak 'update'?. sibuk sangat ke? Lama tu Mun..berbulan-bulan dah". Saya dengan rasa malu dan terus menjawab dengan tersenyum, " maaflah kawan, memang sudah lama bersarang pun..berbulan-bulan tu..sibuk la..insyaAllah selepas ini". Kata-kata ini juga adalah ikrar daripada saya.

Pada malam yang sama juga saya ditegur sebab blog sudah lama tidak 'update'. " Blog masih gambar konvokesyen lagi ke? bulan berapa tu?". Saya pun terus menjawab dengan rasa malu la juga.. " dah berbulan lamanya. Konvo bulan 10 sekarang bulan 3. Susah untuk meneruskan penulisan jika dah tinggalkan lama. Tapi bila dah mula susah pula nak berhenti", jawab saya dengan semangatnya :)

Moga Allah memberikan kekuatan kepada diri saya. Ya..saya ingin menyampaikan walaupun dengan satu ayat.

BEBASKAN PALESTIN

BEBASKAN PALESTIN

PROFIL DIRI

Munirah Bahari

Dilahirkan pada 18 Oktober 1984 di Kampung Telok Bakong, Perak. Merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Ilmu Wahyu & Warisan Islam dan Diploma Pendidikan di UIAM, Gombak. Sekarang bertugas sebagai pendidik di SMK (F) Besout, Sungkai. Penulis boleh dihubungi melalui emel munirahbahari@gmail.com atau YM (munirah_bahari)