Dewasa ini kita melihat arus perubahan sangat pesat melanda negara kita, baik dari segi teknologi, komunikasi, dan ledakan maklumat. Tidak terkecuali di dalam bidang pendidikan, sentiasa berlaku perubahan dan pembaikan supaya sistem yang ada akan bertambah baik dan mantap. Namun di sebalik kemajuan dan strategi yang dijalankan, masih terdapat kekurangan yang perlu dipantau dan diambil perhatian serius. Seperti baru-baru ini, banyak isu melibatkan kanak-kanak cerdik dan pintar dipaparkan di dada-dada akhbar tempatan. Isu yang sering ditimbulkan ialah kanak-kanak pintar cerdas, apakah mekanisme yang dapat membantu kanak-kanak pintar cerdas ini dan sejauh manakah pembelaan ke atas mereka.
Menurut Prof Madya Dr. Nik Azis Nik Pa (1999), kanak- kanak pintar cerdas adalah satu amanah dan rahmat daripada Allah yang perlu dikembangkan dan dimanfaatkan demi kebaikan umum. Mereka ini mempunyai darjah kecerdasan yang luar biasa, oleh sebab itu ramai di kalangan ahli pendidik menyarankan agar kanak- kanak pintar cerdas dan berbakat ini didedahkan kepada program pendidikan yang khusus, yang sesuai dengan kebolehan mereka sendiri. Menurut Holligworth (1942), kanak-kanak yang mempunyai darjah kecerdasan (IQ) yang tinggi daripada 150 didapati tidak dapat menyesuaikan diri dengan program pendidikan biasa. Ini kerana menurut Prof Madya Dr. Nik Azis Nik Pa (1999) apabila kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat ini berada dalam sistem pendidikan biasa, bukan sahaja gagal untuk mencapai keputusan yang memuaskan tetapi mereka juga sering kali gagal untuk mencapai tahap prestasi yang dicapai oleh kebanyakkan rakan sebaya mereka.
Menurut Hildreth, sekiranya bakat dan kepintaran ini tidak dikembangkan melalui pendidikan khas, maka daya kepintaran yang dipunyai oleh seseorang kanak-kanak akan lenyap ditelan zaman. Malaysia sepatutnya mencontohi Singapura dan Indonesia yang telah memikirkan dengan lebih serius tentang isu ini. Tidak hairanlah apabila kedua negara ini telah mewujudkan mekanisme bagi membantu kanak-kanak pintar dan cerdas dengan menubuhkan pusat pendidikan khas untuk melaksanakan program pendidikan pintar cerdas. Prof Madya Dr. Nik Azis Nik Pa (1999), menyatakan bahawa pendidikan khas untuk mereka ini wajar dilaksanakan di negara ini kerana mereka merupakan aset yang penting bagi negara dan mereka dapat memberi sumbangan dan faedah kepada pembangunan negara. Selain itu juga, kanak-kanak pintar cerdas ini mempunyai hak untuk belajar, hak untuk mengembangkan kebolehan diri, dan hak untuk menjadi manusia yang produktif.
Keperluan untuk membantu kanak-kanak gifted dan talented ini perlu dari segi bantuan kewangan dan khidmat nasihat selain pendidikan khas untuk mereka. Kita tidak mahu nasib kanak-kanak ini terabai apabila tiadanya perhatian dan mekanisme yang terbaik untuk mengembangkan minda mereka. Jika kemiskinan merupakan faktor kanak-kanak pintar cerdas tidak meneruskan pembelajaran, pihak berwajib perlu tampil ke hadapan bagi membantu memberikan sumber kewangan kepada mereka, supaya pemikiran kanak-kanak ini tidak terbantut dan tidak mensia-siakan anugerah kepintaran ini. Tidak semua kanak-kanak pintar cerdas ini terdiri daripada keluarga yang berada dan ada juga mereka yang keluarganya berpendapatan rendah. Jika kewangan tidak disalurkan kepada mereka yang memerlukan untuk tujuan pembelajaran, maka terjadilah keadaan di mana mereka merempat di jalanan atau menjadi peniaga apabila sudah dewasa kerana otak yang pintar tidak dikembangkan dan terbantut begitu sahaja. Ini kerana kita tidak bertindak bersungguh-sungguh dalam menangani isu kanak-kanak pintar cerdas ini. Janganlah kita membiarkan permata yang berharga ini terumbang-ambing kerana permata kalau dibiarkan berhabuk, lama-lama akan menjadi kaca .
Suatu ketika dahulu, negara pernah dikejutkan dengan berita seorang kanak-kanak berumur 4 tahun yang mahir membaca akhbar sehingga dijadikan anak angkat Prof. Engku Aziz. Namun di manakah Mohd Syukri Hadafi berada sekarang?. Ada yang menyatakan beliau sekarang menjadi penjual roti canai. Begitu juga dengan Sufiah Farooq, seorang yang mahir dalam bidang Matematik pada umur 7 tahun sehingga dihantar belajar ke luar negara. Namun setelah tiga tahun berada di Universiti Oxford, beliau melarikan diri dan berkahwin dengan orang Inggeris dan bercerai setahun kemudian. Sesungguhnya negara telah kehilangan aset yang sangat berharga kepada agama dan negara. Mengapakah perkara sebegini terjadi? Perkara ini kerana kita tidak menghargai otak pintar yang mereka ada kerana kita sibuk dengan perbincangan dan percaturan yang dibuat sehingga tiada tindakan yang dilakukan. Sesungguhnya kerajaan perlu mengambil ikhtibar atas kejadian yang berlaku agar tidak berulang ke atas Adi Putra Abdul Ghani, kanak-kanak pintar Matematik.
Menurut Dr. Rashid Mohd Saad, pensyarah Jabatan Bahasa dan Literasi Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya ( Mingguan Malaysia , 3 Februari 2008), sepatutnya sudah sampai masanya kita mewujudkan satu pusat bagi mengurus kemunculan kanak-kanak pintar yang bertaraf genius ini. Salah satunya sistem pendidikan misalnya tidak boleh terlalu rigid. Sistem yang agak rigid perlu menjadi lebih anjal dalam menangani kes- kes seperti ini. Kita perlu membantu mengembangkan minda dan potensi yang ada pada Adi Putra supaya kita tidak mempersiakan kelebihan dan anugerah yang terdapat dalam dirinya. Bantuan kewangan juga perlu disalurkan kepada mereka, sekiranya mereka memerlukan bagi melanjutkan pelajaran di luar negara. Amat menyedihkan sekiranya kita mengabaikan potensi mereka kerana jika lihat di Barat, mereka sangat prihatin dan sanggup membuka jalan untuk kanak-kanak ini supaya dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi lagi.
Kementerian Pelajaran telah menyediakan ruang untuk kanak-kanak kurang upaya menikmati pembelajaran seperti kanak-kanak biasa dengan mewujudkan Sekolah Pendidikan Khas. Ini menunjukkan Kementerian Pelajaran sangat prihatin dan tidak mengabaikan kebajikan kanak-kanak tersebut. Oleh itu, kanak-kanak pintar ini juga tidak boleh dikecualikan dan mereka selayaknya mendapat pendidikan yang sesuai mengikut tahap minda mereka seperti kanak-kanak lain. Perlunya keperluan pendidikan untuk kanak-kanak pintar cerdas ini agar mereka juga bisa menikmati pembelajaran yang kondusif.
Semua pihak perlu memainkan peranan untuk membentuk kanak-kanak pintar cerdas ini menjadi seorang ilmuan Islam yang dapat menyumbang kepada ummah kelak. Mereka ini perlu dibimbing dengan kefahaman Islam yang sempurna dari segi rohani dan jasmani agar kelak tidak tersasar daripada batasan Islam.
0 comments:
Post a Comment