SEJAUH MANA PERANAN WANITA DALAM DAKWAH & MEMIMPIN



Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah S.W.T dengan limpah dan kurnia-Nya serta kelapangan masa yang Allah kurniakan kepada kita untuk kita bertemu mata dan bersama-sama menghadiri usrah Pusat PKPIM serta memperkukuhkan tautan ukhwah Islamiah antara hati-hati yang berkumpul demi keredhaan Allah S.W.T. Selawat serta salam ke atas Nabi Junjungan besar, Nabi Muhammad S.A.W, keluarga baginda, para sahabat-sahabat serta pejuang-pejuang yang menegakkan agama Islam hingga ke hari ini.

Sesungguhnya berdakwah kepada Allah adalah sebaik-baik dakwah. Dakwah merupakan perbuatan yang tulus suci dan tiada siapa yang mampu mencapai tahapnya kecuali mereka yang telah dipilih oleh Allah S.W.T. Jika direnungi Nabi Muhammad S.A.W merupakan sebaik-baik pendakwah, dan kita sebagai pengikutnya serta pewaris dakwah baginda perlu melaksanakan tugas yang sama sepertimana yang dilakukan oleh Rasullullah S.A.W suatu ketika dahulu. Kita sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W perlu bersyukur kerana dianugerahkan dan dikurniakan kemuliaan, peringatan dan dakwah kepada agama-Nya. Oleh yang demikian kita perlu melakukan tugas dakwah tanpa mengira jantina, baik lelaki mahupun perempuan. Amanah, tugas dan kemuliaan bukan sahaja dikurniakan kepada golongan lelaki bahkan juga kepada golongan wanita juga.

Sepertimana firman Allah S.W.T di dalam Surah al Ahzab: 35 yang berbunyi:
“ Sesungguhnya orang lelaki yang Islam dan orang perempuan yang Islam, dan orang lelaki yang beriman serta orang perempuan yang beriman….”

Sejarah telah menerangkan contoh yang jelas berkenaan peranan wanita dalam bidang dakwah. Antaranya ialah Saidatina Aisyah; di mana beliau menjadi sumber rujukan ilmu, Ummu Atiyyah al-Ansari; beliau sentiasa dikunjung oleh orang ramai termasuk lelaki untuk menuntut ilmu, Asma’ bt Abu Bakar, Zainab al-Ghazali dan banyak lagi.

Sesungguhnya peranan wanita dalam dakwah amat diperlukan pada masa kini memandangkan pengaruh barat yang semakin menular dan berleluasa sehingga menjadikan wanita sebagai alat dalam menyebarkan kejahatan, ketidaksopanan, serta perpecahan di dalam keluarga. Perkara ini juga telah membawa kepada kebinasaan nilai akhlak dan peribadi wanita. Sangat menyedihkan pabila kita melihat wanita-wanita Islam dijadikan alat untuk sebarkan kerosakan dan kebinasaan menerusi media massa dan media cetak. Lihatlah apa yang berlaku sekarang ekploitasi kaum wanita semakin berleluasa di dalam filem dan iklan. Wanita seaakan-akan tiada maruah diri sehingga sanggup menggadaikan tubuh badan demi mendapat pendapatan lumayan dan menjadi terkenal. Ini adalah disebabkan oleh cepat terpengaruh serta lemahnya ilmu pengetahuan agama di kalangan mereka. Oleh itu, wahai saudari pendakwah sekalian! di sini lah peranan saudari kerana wanita paling layak dan sesuai dalam melaksana misi dakwah di kalangan mereka kerana wanita itu lebih mengetahui tabiat, suasana dan masalah yang bersangkutan dengan wanita. Perkara ini memberi kelebihan kepada wanita kerana mereka terdiri daripada golongan yang sama. Untuk mengubah cara hidup mereka bukan lah satu usaha yang mudah, namun pelbagai cara yang boleh digunakan dalam menangani isu ini.

Usaha dakwah yang dilakukan itu sangat luas bidangnya, bukan sekadar ucapan di masjid dan pengajian tetapi meliputi akhlak, tingkah laku, nasihat serta sifat mahmudah sehingga melahirkan kesan yang panjang. Perlu diketahui, tidak semua wanita dapat menyampaikan ceramah dan suruhan kepada orang lain tetapi semua orang mampu jalinkan hubungan yang baik dan memberi nasihat. Oleh itu keadaan ini menolak secara langsung hujah golongan yang berkata tiada masa untuk berdakwah kerana sibuk dengan rumah tangga. Wahai saudari pendakwah! Wanita perlulah bijak menyeimbangkan kewajipan berdakwah dan menjaga rumah tangga di mana kedua-duanya merupakan suatu tuntutan. Pendakwah wanita juga tidak boleh terlalu sibuk dengan kerja-kerja dakwahnya sehingga mengabaikan rumahtangganya. Wanita itu perlu mendahului keutamaannya; contohnya anak kecil perlu ditentukan jagaan dan keutamaannya dan disamping tidak meninggalkan kerja dakwah tersebut.

Penyediaan seorang pendakwah itu penting kerana untuk memperbaiki dan meningkatkan usaha dakwah mereka. Menurut Zainab al-Ghazali kewajipan berdakwah samaada lelaki atau wanita perlu memperlengkapkan diri dengan ilmu-ilmu semasa, tahu maklumat serta ilmu moden dalam usaha menangani tentangan yang sedia ada.

Bidang dakwah bagi wanita itu sangat luas, baik di dalam keluarga, rakan sebaya, dan masyarakat. Sesungguhnya tidak dinafikan bahawa pendakwah wanita lebih gigih menjalankan usaha dakwah semasa belum mempunyai komitmen yang berat yakni sewaktu zaman bujang. Ini kerana dakwah semasa berada di pengajian tinggi sangat luas dan tidak terbatas. Namun selepas mendirikan rumah tangga, kegiatan dan usaha dakwahnya menurun, lemah serta semangat akan luntur sedikit demi sedikit sehingga hilang sebahagian golongan daripada mereka. Walau bagaimanapun, sedikit daripada mereka yang meneruskan usaha dan pengorbanan walaupun memikul tanggungjawab yang baru dan menghadapi suasana sekeliling yang sentiasa berubah. Ini lah hakikat yangdiketahui oleh mereka yang menceburkan diri dalam bidang dakwah dan senantiasa bertanya kepada diri sendiri; Bagaimana hal ini boleh berlaku? Apa sebab yang membawa kepada fenomena ini? Persoalannya di sini bagaimanakan kita boleh membantu saudari pendakwah untuk meneruskan semangat serta menyampaikan dakwah dan agama?. Sepatutnya perkara ini perlu menjadi kajian bagi lelaki dan wanita dalam bidang dakwah.
Zainab al-Ghazali di dalam bukunya Nasihat untuk wanita telah menggariskan tip-tip bagi membantu saudari pendakwah ini. Antaranya ialah:

Meletakkan perancangan kerja yang dikehendakidan masa yang diperlukan bagi setiap kerja.
Mengrenalpasti tentang dakwah yang boleh dimanfaatkan.
Menyusun satu perancangan bagi kerja yang dikehendaki serta mengkaji masa yang sesuai.
Mengetahui keutamaan antara yang terpenting dengan yang penting.
Seorang pendakwah perlu menjadi contoh tauladan secara praktikal di hadapan orang ramai.
Saudari pendakwah perlu menjadi contoh untuk kanak-kanak atau remaja di luar sana. Penulis teringat kata-kata yang disampaikan oleh Pengerusi HEWI PKPIM baru-baru ini di Tamrin Nisa’ Kebangsaan di mana beliau menyatakan bahawa sudah tiba masanya HEWI mengorak langkah mengambil peluang yang ada memberanikan diri untuk keluar majalah, atau menjadi ‘front page’. HEWI perlu menjadi idola untuk remaja-remaja di luar sana. Kita perlu tunjukkan peribadi dan akhlak yang mulia kepada mereka.Bukanlah niat atau permasalahnya di sini untuk menayangkan muka, tetapi sedarlah pada hakikatnya kita ketandusan tokoh remaja wanita yang boleh dijadikan contoh dan ikutan untuk adik-adik di luar sana..Sesungguhnya pengaruh media itu sangat besar dan kita perlu mengambil peluang yang ada dalam menyampaikan misi dakwah ini.

Pendakwah merupakan orang pertama melakukan perkara yang diseru kepada orang lain dan bergerak di barisan hadapan secara praktikal dalam berdakwah. Contoh yang terbaik ialah Imam Hassan al Basri (kisah di mana beliau mahu menegur tuan punya hamba di dalam khutbah jumaat ). Sesungguhnya contoh tauladan yang praktikal adalah anak kunci ajaib dalam menjamin keberkesanan usaha dakwah dalam kehidupan orang ramai.

Rujukan:
Zainab al-Ghazali, Nasihat untuk Wanita.
Ahmad Muhammad Jamal, Jejak Cemerlang 30 Wanita Beriman.

Mohon maaf di atas kekurangan. Segala komen dan teguran boleh melalui emel munirah@pkpim.net. Syukran jazilan wa ila liqa’.

* Dibentangkan di Usrah Qiyadi PKPIM pada 17 Julai 07/ Anjung Rahmat, Gombak.

0 comments:

BEBASKAN PALESTIN

BEBASKAN PALESTIN

PROFIL DIRI

Munirah Bahari

Dilahirkan pada 18 Oktober 1984 di Kampung Telok Bakong, Perak. Merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Ilmu Wahyu & Warisan Islam dan Diploma Pendidikan di UIAM, Gombak. Sekarang bertugas sebagai pendidik di SMK (F) Besout, Sungkai. Penulis boleh dihubungi melalui emel munirahbahari@gmail.com atau YM (munirah_bahari)