USRAH SUDAH BERMULA!!

Baru-baru ini cikgu di sekolah saya iaitu kak Farhana mengajak saya untuk pergi berkelah dan mandi manda di Sg. Tesong. Lantas mengingatkan tiada aktiviti pada hujung minggu tersebut, saya terus bersetuju dengan cadangan tersebut. Sempat kak Farhana berpesan pada saya, "mun, jangan lupe masak nsi goreng!". Saya sempat menghantar mesej kepada kak Farhana mencadangkan untuk buat usrah sambil kita berkelah-kelah dan mandi manda. Saya sebenarnya rindu pada usrah yang pernah dihadiri semasa zaman bergelar pelajar. Banyak yang dipelajari dan maklumat diperolehi semasa menghadiri usrah tersebut. Terasa manisnya mengimbau saat bersama-sama rakan kongsi ilmu dan berdiskusi hangat. Terus saya mencadangkan kepada kak Farhana agar membawa satu topik yang ingin dibincangkan. lantas dia membalas, " akak tak reti present ni mun..lagi-lagi depan audiens...takutnye!". Saya membalas, " ala kak, bahasa kampungnye present tu akak baca satu topik dan rumuskan...ermm..takut konon! takpe..nanti saya tolong" . Sebenarnya saya memang amat mengharapkan agar usrah akan terjadi pada keesokan harinya.


Sebelum bergerak ke destinasi utama, saya telah menghadiri walimah anak makcik kantin di sekolah saya. Semasa di sana saya mengajak kawan-kawan untuk bersama-sama menyertai kami. Lantas kak Farhana mengajak, " jom ke sg Bil..kite buat usrah! Mun ajak". Lantas dibalas oleh kak Nora, " Usrah?..taknak la..abis kena pakai baju krung la ni? jadi alim la?" Saya tersenyum sambil berkata, " Rileks la kak Nora..saje je kak Farhana tu..bukan usrah..tapi grup circle. Takyah pakai baju kurung, pakai jeans, track atau t-shirt pun boleh. Jangan risau ..saya dah lantik kak Farhana jadi naqibah, akak penolong naqibah", ujar saya sambil tersenyum..Pada waktu yang sama kak Farhana tergelak besar dan diikuti tawa kak Suraya dan kak Fizah.


kami tidak jadi ke Sg. Tesong tapi kami menuju ke Sg Bil di Slim River. Apabila tiba, terus kami hamparkan tikar, makanan, minuman dan sebagainya. Lantas saya memulakan topik, "ok kak Frahana, boleh start grup circle kite, ape tajuknye? Balas kak Farhana, " alang-alang kita nak makan, kita bincang tentang makan!" Dalam hati saya geli hati melihat karenah kakak-kakak nih..ye..mungkin untuk permulaan..Selepas selesai makan mereka semua menuju ke destinasi utama iaitu acara mandi manda. Namun di situ tinggal saya, kak Suraya, kak Farhana dan Ina (pelajar tingkatn 5). Terus kak Suraya bertanya tentang persoalan puasa jika tak silap saya, diikuti oleh soalan daripada Kak Farhana dengan persoalan tentang wudhuk. "mun, sah ker wudhuk jika kite korek hidung?. Lantas saya menjawab, " ader tahi hidung ker?..saya tanya pulak , tahi hidung tu najis ker?.. kalau setakat korek hidung yang biasa-biasa tak batal kecualilah jika korek sewaktu akak posa, tu memang batal puasa la..sebab memasukkan sesuatu ke dalam rongga atau anggota badan adalah perkara yang boleh membatalkan puasa". Sebenarnya persoalan ini memang tak pernah terlintas di fikiran saya sebenarnya.


Selepas itu, persoalan tentang peraduan teka dan menang diajukan. Berpandukan pembacaan saya di laman blog ustaz Zaharuddin, saya dapat menerangkan serba sedikit tentang peraduan tersebut. Selepas itu mereka terus bermandi manda dan tinggallah saya dengan Ina. Sempat kak Farhana berkata kepada saya, "mun, nanti kita bincang lagi tau..bile-bile ada mase". Dalam hati kecilku berkata, " ini pun dikira usrah munirah...jangan mengharapkan sesuatu yang besar..inilah maudhu' kita yang sebenar...perlahan=lahan dalam menyampaikan dakwah itu dan saya mengharapkan usrah sebegini akan berlaku lagi, insya'Allah". Ina terus bertanya kepada saya tentang persoalan tentang haid. "Ustazah, berdosa tak kalau orang yang melambatkan mandi hadas?".. Saya menjawab, " memang berdosa, Ina. Tetapi sebenarnya ada cara untuk kita memastikan kita sudah bersih daripada kotoran tersebut iaitu dengan melihat dengan menggunakan kertas tisu dan juga berpandukan kepada waktu solat". Selepas itu kami bergerak menuju ke air terjun untuk menikmati keindahan ciptaan Allah dan merasai kesejukan air di Sg Bil. Memang sangat-sangat sejuk airnya!


Saya menantikan group circle yang kedua! :)

Saat-saat manis ketika berusrah dengan PKPIM



KELAS PENGAJIAN KE-2


Pada hari Jumaat yang lepas 15 Mei 2009, sekali lagi saya dipanggil untuk mengadakan kelas untuk ibu-ibu peneroka di sini. Seperti biasa dan tidak dijangka oleh kotak pemikiran saya Tn. Haji telah menelefon saya pada malam khamis. Saya mendapat panggilan daripada Pak Imam yang bertanya samada saya free pada hari Jumaat.

Lantas saya menjawab, " Insya'Allah, jika tiada aral saya akan mengadakan kelas esok". Selepas telefon dimatikan terus fikiran saya menjadi serabut apabila memikirkan tajuk yang hendak disampaikan. "Tajuk apa yang hendak disampaikan nanti? sudahlah bekalan elektrik terputus sekarang, nak baca buku pun tak nampak", gusar saya dalam hati. Saya bertawakal kepada Allah S.W.T dan semoga saya diberikan waktu dan masa untuk menelaah serba sedikit tajuk yang ingin disampaikan. Lantas saya berfikir bahawa, sewaktu saya berada dalam PKPIM, saya sudah diajar untuk bersedia untuk tidak bersedia. Ya, walaupun diri ini tidak bersedia, namun saya menyahut cabaran sebagai langkah untuk memajukan diri dan untuk menyebarkan dakwah. “Hai orang-orang yang beriman jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”.(Muhammad : 7)

Pada waktu yang dijanjikan, seperti biasa Pak Imam dan isteri akan menjemput saya. Setibanya saya di masjid, saya terus bersalaman dengan makcik-makcik di situ dan terus memulakan pengajian. Lantas saya terus membentangkan bab-bab di dalam buku Bidayatul Hidayah karangan Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali rahimahullah yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh Syeikh Fahmi Zam Zam. Saya mengambil buku ini sebagai buku utama di dalam kelas saya selepas ini. Ini kerana isi pokok di dalam buku itu mudah untuk disampaikan selain memaparkan amalan-amalan harian yang perlu dilakukan oleh seorang Muslim. Saya sempat menyentuh Adab 1 dan 2 iaitu Adab bangun daripada tidur dan Adab masuk ke dalam tandas. Pada permulaan kelas saya, saya nampak makcik-makcik di sini mulai mengantuk namun masih bersungguh -sungguh untuk mendengar apa yang ingin diperkatakan oleh saya. Lantas saya teringat kata-kata seorang sahabat saya sebelum saya hendak pergi ke kelas. Dia berkata, " Mun, jangan lupe buat lawak-lawak sikit..nanti best la makik tu dengar". Saya pun berkata, "saya ni tak pandai buat lawak kak, takpa, nanti kalu masa nak buat lawak saya jemput akak sebagai selingan" kata saya sambil tersenyum.

Lantas saya cuba menyelitkan unsur lawak di dalam kelas saya disamping mengemukakan persoalan untuk dijawab oleh makcik-makcik untuk menguji kemampuan makcik-makcik. Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan apabila tiba di bab tempat yang dilarang membuang najis. Terdapat banyak tempat yang dilarang untuk membuang air besar iaitu antaranya ialah di tengah-tengah padang, di dalam lubang, di bawah pokok, di tanah yang kering dan di dalam air yang tenang. Setiap tempat saya menimbulkan persoalan kenapa tidak boleh. Biasalah, disamping saya memberikan ilmu, saya ingin juga belajar daripada makcik-makcik ini jika ada pantang larang dan adatnya. Yang menggelikan hati saya ialah apabila ada makcik-makcik yang menjawab dilarang membuang air besar di bawah pokok sebab takut ada orang yang akan makan buah yang terkena najis..sambil yang lain gelak..Ada juga yang berkata: " nanti ada orang akan terpijak taik tu kan susah..", dan ada juga yang menyatakan mungkin nanti pokok akan menjadi tidak subur. Semua jawapan tersebut menggelikan hati saya dan pada masa yang sama saya berfikir ada benarnya juga kata-kata tersebut. Apa yang pasti saya sangat bahagia dan gembira dapat bersama-sama dengan mereka dalam pencarian ilmu ini.

Seperti biasa selepas habis kelas kami akan solat bejemaah di masjid. Selepas itu Pak Imam dan isteri mengajak saya ke rumah mereka. " Ustazah, kali ini kami ajak ustazah datang umah kami, kite makan bihun sup. Dulu dah rase mee bandung sekarang rase bihun sup pulak", kata pak Imam. Saya sangat kagum dengan keramahan penduduk di sini. Walaupun saya baru 5 bulan di sini, tetapi ukhwah macam sudah lama kenal..

Semoga bakti saya dan ilmu yang disampaikan walau sedikit itu memberi manfaat kepada mereka, Insya'Allah.

SELAMAT PENGANTIN BARU...SUMAYYAH JOHAIDI & MUHAMMAD FAIZAL

Dari kiri Hidayah , Faizal, Maya, saya dan Siti Sarah

Dari kiri Athirah, Sarah, saya, kak Chik, pengapit, Faizal, Maya, kak Ika, kak Faiz, kak Syida
dan Diana




Akhirnya pada 1 Mei 2008, kawan baikku Sumayyah Johaidi selamat diijabkabulkan. Saya yang turut sama menghadiri majlis pernikahan turut gembira di atas berita gembira ini. Sumayyah @ maya merupakan kawan ketika saya susah dan senang. Gelak tawa, suka duka hanya kami yang tahu isinya. Persahabatan yang akrab terjalin apabila kami sama-sama diamanahkan sebagai exco dalam PKPIM. Umur yang masih mentah dan muda ( tahun pertama di UIA) memang sangat mencabar dan menguji kami untuk memegang amanah yang diberikan.


Maya dan Mun... bagaikan anjing dengan kucing apabila bertemu :) ..Ada saja perkara yang hendak dibahaskan dan dibangkitkan. Jika sesiapa yang tidak mengenali kami, akan mengandaikan kami sedang bergaduh. Namun, hakikatnya hanya luaran sahaja...memang fiil kami sebegitu apabila bertemu.. tapi apabila usia sudah menganjak dewasa, perangai tersebut makin berkurangan..

Tahniah maya!!! Semoga menjadi isteri yang solehah dan semoga berbahagia dunia dan akhirat.


PENGISIAN ILMU BERSAMA PENEROKAWATI



1 minggu yang lepas saya mendapat panggilan telefon daripada seorang imam di salah sebuah masjid di tempat saya mengajar. Beliau meminta agar saya dapat memberikan ceramah kepada kaum ibu-ibu @ penerokawati di kawasan tersebut. Pada mulanya saya cuba mencari alasan untuk menolak perlawaan tersebut memandangkan diri ini yang masih kekurangan ilmu, tiada pengalaman dan yang paling utama tidak pernah menyampaikan ceramah!!! Lebih-lebih lagi kepada kaum ibu-ibu. Saya sedaya upaya menolak dengan baik perlawaan tersebut kerana saya memikirkan kemungkinan kesuntukan masa untuk mencari bahan dan tajuk yang sesuai. Pelbagai alasan diberikan kepada ustaz tersebut termasuklah tiada kenderaan untuk ke tempat masjid. Namun alasan saya dibalas dengan baik dan penuh hikmah oleh Pak Imam tersebut. Ada sahaja ayatnya sehingga membuatkan diri ini kalah bertikam lidah dengannya. Sebenarnya jauh di sudut hati ini tiada kekuatan dan keyakinan untuk menyampaikan ceramah tersebut. Kemudian, terlintas di fikiran saya sabda Nabi S.A.W : " Sampaikanlah dariku walaupun hanya satu ayat" . Saya terfikir bahawa apalah salahnya kita cuba dahulu dan cuba sampaikan ilmu-ilmu yang saya pelajari kepada masyarakat. Akhirnya, setelah berfikir saya memberi jawapan kepada pak imam tersebut, "baiklah ustaz, saya cuba dahulu. Untuk pengetahuan ustaz saya tak pernah ceramah kepada ibu-ibu ni, gusarku". Namun dengan ringkas beliau menjawab, "inilah masanya untuk mengajar ibu-ibu, takkan asyik dengan pelajar je". Akhirnya saya senyum sendirian dan tanpa berfikir panjang terus saya mencari buku yang sesuai untuk ceramah pada petang jumaat.

Akhirnya, masa yang dinanti-nantikan telah tiba di mana pak imam dan isteri menjemput saya dengan Myvinya ke masjid. Jantung berdegup kentang tatkala memandang jemaah yang ramai dan sebaya dengan umur mak saya. Namun oelh kerana sikap ibu-ibu yang peramah berjaya membuang gemuruh di hati saya. Saya memulakan isi ceramah saya berkisar tentang peranan wanita dan keadaannya sebelum kedatangan Islam. Pelbagai reaksi wajah dapat saya lihat, serius, kusyuk, dan tenang mendengar ceramah tersebut. Disebabkan saya ni antara yang tidak pandai berceloteh, maka ceramah yang disampaikan berakhir dengan cepat. Lantas saya membuka kepada sesi soal jawab dan kemuskilan agama. Alhamdulillah, respons yang baik telah diberikan walaupun soalan yang ditanya itu menguji kemampuan saya untuk menjawab. Saya hanya menjawab mana yang saya mampu dan selebihnya saya akan merujuk kepada kitab-kitab atau pandangan ulama'. Pelbagai persoalan yang ditimbulkan termasuklah cara untuk menguatkan ingatan, cara untuk mengelakkan anak lupa mengaji, anak malas solat dan mengaji, solat sunat dan sebagainya. Saya sangat gembira kerana dapat berkongsi ilmu dengan kaum ibu tersebut. Mereka juga mencadangkan kepada saya setia mereka memiliki sebuah buku yang akan digunakan untuk kelas saya nanti .Insya'Allah saya akan mencari buku yang sesuai nanti. Kepada sahabat-sahabat yang ada cadangan buku yang perlu digunakan untuk kelas tersebut, saya sangat mengalu-alukan cadangan tersebut.

Setelah selesai, dapat juga kami berjemaah asar di masjid dan usai dari menunaikan solat Asar pak Imam (ustaz zul) dan isterinya membawa saya bersiar-siar di sekililing kampung dan sempat menjamu saya dengan mee bandung yang terkenal di dalam kampung tersebut. "mee bandung ni sedap, rugi kalau tak rasa..", ujar ustaz Zul. Ya, memang sedap mee bandung tersebut. Insya' Allah selepas ini saya mungkin akan dijemput lagi untuk mengadakan kelas pada petang jumaat. Oleh itu, pembacaan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan perlu dilakukan dari masa ke semasa.

Ya Allah..tambahkan ilmu pengetahuan dan berikanlah kefahaman kepada diriku ini..

BEBASKAN PALESTIN

BEBASKAN PALESTIN

PROFIL DIRI

Munirah Bahari

Dilahirkan pada 18 Oktober 1984 di Kampung Telok Bakong, Perak. Merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Ilmu Wahyu & Warisan Islam dan Diploma Pendidikan di UIAM, Gombak. Sekarang bertugas sebagai pendidik di SMK (F) Besout, Sungkai. Penulis boleh dihubungi melalui emel munirahbahari@gmail.com atau YM (munirah_bahari)