MENGENANG 100 TAHUN PERJUANGAN BUYA HAMKA



“Orang yang berakal hanyalah merindui akan tiga perkara: Pertama, menyediakan bekal untuk pulang. Kedua, mencari kelazatan buat jiwa. Ketiga, menyelidiki erti hidup. Orang yang berakal tahu membedakan manusia, tiada canggungnya ke manapun dia bergaul. Manusia dibaginya dua. Pertama orang awam, perkataannya di sana dijaganya, tiap kalimat dibatasnya. Kerana hanya jauhari mengenal manikam. Kedua ialah orang khawas, di sanalah dia merasa lazat ilmu, kepada yang lebih darinya, dia menyauk. Kepada yang sama dengannya, dia membanding. Tempoh tidak ada yang terbuang…”

(FALSAFAH HIDUP)


Demikianlah antara kata-kata hikmah pemikir dan pujangga di rantau kita, Prof Haji Abdul Malik Karim Amrullah, atau lebih dikenali sebagai Profesor Hamka yang dilahirkan pada tahun 1908 di Minangkabau Sumatera.

Tanggal 17 Februari 2008, genaplah 100 tahun mengenang perjuangan Buya Hamka atau nama sebenarnya Prof Haji Abdul Malik Karim Amrullah. Bila disebut tentang Hamka semua akan mengenalinya baik seorang ulama’, sasterawan, wartawan, pendakwah, tokoh sejarah, dan banyak lagi. Keilmuannya sangat luas, merangkumi bidang sastera, sejarah, tasawwuf, tafsir, falsafah dan sebagainya. Ketokohannya sangat dikagumi walaupun berpendidikan di Madrasah Indonesia namun beliau berjaya mencapai kecemerlangan dengan keilmuannya. Ketokohannya diakui bukan sahaja di Indonesia malah di Asia Tenggara. Walaupun berperawatan sederhana, namun keperibadiannya cukup memberi kesan terutamanya generasi muda. Karya sasteranya berjaya menarik golongan muda untuk menghayatinya sehinggakan karyanya mampu membuat pembaca menitiskan airmata.


Alhamdulillah, saya sangat bertuah kerana dapat mengenali tokoh ini walaupun agak lewat, semasa di Pusat Matrikulasi UIAM. Pada waktu tersebut namanya hanya meniti dibibir namun tidak berkesempatan membaca karyanya dan syukur akhirnya apabila saya berkesempatan membaca karyanya iaitu Di Bawah Lindungan Kaabah. Terima kasih kepada Setiausaha Agung PKPIM ketika itu, Azwiralbukhairi yang telah memperkenalkan buku tersebut dan sekaligus memberikan buku tersebut kepada saya. Selepas membaca buku tersebut, saya terus ghairah mencari buku karangan Buya Hamka yang lain dan terus membuat koleksi. Sesungguhnya penulisan Buya Hamka sangat terkesan di hati pembacanya. Akhirnya marilah kita sama-sama menghayati karya penulisannya yang agung dan mencontohi keperibadian dan ketokohannya yang holistik.


Disertakan biografi Buya Hamka. Sumber rujukan Wikipedia Indonesia.


HAMKA (1908-1981), adalah akronim kepada nama sebenar Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah. Beliau adalah seorang ulama, aktivis politik dan penulis Indonesia yang amat terkenal di alam Nusantara. Beliau lahir pada 17 Februari 1908 di kampung Molek, Maninjau, Sumatera Barat, Indonesia. Ayahnya ialah Syeikh Abdul Karim bin Amrullah atau dikenali sebagai Haji Rasul, seorang pelopor Gerakan Islah (tajdid) di Minangkabau, sekembalinya dari Makkah pada tahun 1906.


Hamka adalah seorang otodidiak dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan seperti filsafat, sastra, sejarah, sosiologi dan politik, baik Islam maupun Barat. Dengan kemahiran bahasa Arabnya yang tinggi, beliau dapat menyelidiki karya ulama dan pujangga besar di Timur Tengah seperti Zaki Mubarak, Jurji Zaidan, Abbas al-Aqqad, Mustafa al-Manfaluti dan Hussain Haikal. Melalui bahasa Arab juga, beliau meneliti karya sarjana Perancis, Inggris dan Jerman seperti Albert Camus, William James, Sigmund Freud, Arnold Toynbee, Jean Paul Sartre, Karl Marx dan Pierre Loti.


Selain aktif dalam soal keagamaan dan politik, Hamka merupakan seorang wartawan, penulis, editor dan penerbit. Sejak tahun 1920-an, Hamka menjadi wartawan beberapa buah akhbar seperti Pelita Andalas, Seruan Islam, Bintang Islam dan Seruan Muhammadiyah. Pada tahun 1928, beliau menjadi editor majalah Kemajuan Masyarakat. Pada tahun 1932, beliau menjadi editor dan menerbitkan majalah al-Mahdi di Makasar. Hamka juga pernah menjadi editor majalah Pedoman Masyarakat, Panji Masyarakat dan Gema Islam.


Hamka juga menghasilkan karya ilmiah Islam dan karya kreatif seperti novel dan cerpen. Karya ilmiah terbesarnya ialah Tafsir al-Azhar (5 jilid) dan antara novel-novelnya yang mendapat perhatian umum dan menjadi buku teks sastera di Malaysia dan Singapura termasuklah Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Di Bawah Lindungan Kaabah dan Merantau ke Deli.


Hamka pernah menerima beberapa anugerah pada peringkat nasional dan antarabangsa seperti anugerah kehormatan Doctor Honoris Causa, Universitas al-Azhar, 1958; Doktor Honoris Causa, Universitas Kebangsaan Malaysia, 1974; dan gelar Datuk Indono dan Pengeran Wiroguno dari pemerintah Indonesia.


Hamka telah pulang ke rahmatullah pada 24 Juli 1981, namun jasa dan pengaruhnya masih terasa sehingga kini dalam memartabatkan agama Islam. Beliau bukan sahaja diterima sebagai seorang tokoh ulama dan sasterawan di negara kelahirannya, malah jasanya di seluruh alam Nusantara, termasuk Malaysia dan Singapura, turut dihargai

0 comments:

BEBASKAN PALESTIN

BEBASKAN PALESTIN

PROFIL DIRI

Munirah Bahari

Dilahirkan pada 18 Oktober 1984 di Kampung Telok Bakong, Perak. Merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Ilmu Wahyu & Warisan Islam dan Diploma Pendidikan di UIAM, Gombak. Sekarang bertugas sebagai pendidik di SMK (F) Besout, Sungkai. Penulis boleh dihubungi melalui emel munirahbahari@gmail.com atau YM (munirah_bahari)