BUAT INSAN YANG TERISTIMEWA


Selamat Bersekolah buat InsanTerlalu Istimewa.... Athirah Binti Hj. Bahari

Alhamdulillah, tercapai juga harapan Athirah dan keluarganya untuk melihat beliau melangkah ke Tahun Satu di Sekolah Pendidikan Khas Felcra Nasaruddin, Bota Kanan. Impian untuk memakai baju sekolah tercapai jua apabila selalu berkeinginan untuk memakainya apabila melihat aksi Geng Bas Sekolah (GBS) di dalam kaca televisyen saluran Astro Ceria.

Setakat ini murid-murid di sekolah tersebut seramai 3 orang sahaja dan seorang guru! Ini kerana sekolah tersebut baru sahaja dibuka dan dalam proses memanggil murid-murid yang lain. Sebenarnya ada juga sekolah yang sama terletak di Titi Gantung namun kami sekeluarga lebih suka menghantar Athirah ke sekolah baru tersebut kerana jarak yang dekat dengan rumah. Cikgunya bernama Ramlah dan yang pasti saya tidak pernah bersua dengannya lagi. Apa yang mencuit hati saya apabila Cikgu Ramlah menceritakan kepada mak saya ialah Athirah tidak akan memberi sedikit pun makanannya kepada kawan yang lain, memang tidak boleh menyentuh makanannya TETAPI dia boleh mengambil makanan kawannya. Memang seorang yang sangat kedekut. Melihat situasi tersebut, mak saya terpaksa mengasingkan makanan untuk Athirah dan jika ada lebihan masakan akan dimasukkan ke dalam bekas lain untuk diberikan kepada murid-murid lain.

Saya sangat bersyukur kerana sekarang sudah banyak sekolah pendidikan khas telah diwujudkan bagi membantu golongan yang istimewa ini mendapat pendidikan yang sama dengan kanak-kanak normal. Bagi ibu bapa kesedaran perlu ada untuk menghantar anak mereka ke sekolah bagi membantu peekembangan mereka. Jika tidak mampu, Pusat Dalam Komuniti ada disediakan di setiap daerah. Janganlah kita mengabaikan pendidikan anak-anak kita kerana mereka itu juga berhak mendapat pendidikan yang sewajarnya dengan diri mereka.

Namun perlu difikirkan juga cara untuk membantu kanak-kanak yang cerdas pintar ini mendapat tempat di Negara kita. Kementerian pendidikan perlu memikirkan satu mekanisme atau menubuhkan satu institusi khas untuk kanak-kanak pintar agar pendidikan mereka ini terjaga. Ini kerana kanak-kanak seperti Adi Putra memerlukan perhatian yang serius agar kelak dapat menyumbang kepada agama dan Negara. Kita tidak mahu lihat kanak- kanak pintar ini hidupnya nanti musnah atau terabai seperti yang terjadi dengan Sufiah.

Athirah binti Hj. Bahari merupakan adik bongsu saya dan merupakan anak yang paling istimewa di dalam keluarga. Athirah juga memang seorang yang sangat aktif dan pada yang sama memang sangat nakal. Kasabaran yang tinggi amat diperlukan dalam menjaganya dan kadang- kadang tanpa kita sedari kesabaran kita akan tercabar jua disebabkan perangainya yang sangat-sangat nakal J. Namun perkara yang patut dipuji ialah sikapnya yang acap kali mengucapkan “ops sori” jika buat kesalahan dan “ thank you” jika mendapat pemberian daripada seseorang.

Athirah juga tidak gentar apabila berhadapan dengan kambing! Malah kambing merupakan sahabatnya atau binatang kesayangannya yang boleh diusap, dibelai tanduknya dan kadang-kadang tanpa mengira erti penat boleh berkejar-kejar dengan kambing. Nampaknya kambing yang takut pada Athirah bukannya dia sendiri. Sesungguhnya inilah kelebihan yang kadang-kadang tiada pada manusia biasa seperti kita. Insan istimewa seperti ini sangat memerlukan perhatian keluarga dan masyarakat supaya mereka juga menjadi sebahagian daripada hidup kita semua.

Apabila kita menjumpai orang yang kurang upaya dan seangkatannya, janganlah kita sisihkan mereka atau memandang serong terhadap mereka kerana mereka juga insan yang dijadikan oleh Allah S.W.T . Bantulah mereka jika mereka memerlukan pertolongan hatta jika kita terserempak di jalanan, pusat-membeli belah dan sebagainya.

2 comments:

Shamsiah Mahli February 19, 2008 at 6:00 PM  

Beruntungnya keluarga yang mempunyai ahli syurga itu...

Munirah Bahari February 20, 2008 at 7:28 PM  

Alhamdulillah..Bersyukur krn ini semua Rezeki dan kehendak Allah Taala. Kita kena menerima seadanya dan membantunya.

BEBASKAN PALESTIN

BEBASKAN PALESTIN

PROFIL DIRI

Munirah Bahari

Dilahirkan pada 18 Oktober 1984 di Kampung Telok Bakong, Perak. Merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Ilmu Wahyu & Warisan Islam dan Diploma Pendidikan di UIAM, Gombak. Sekarang bertugas sebagai pendidik di SMK (F) Besout, Sungkai. Penulis boleh dihubungi melalui emel munirahbahari@gmail.com atau YM (munirah_bahari)