Respon Isu


SIARAN MEDIA& RENCANA 15 JUN 2007/ 29 JAMADIL AWAL 1428H
KURANG BERSENAM, KUAT MAKAN PUNCA MASALAH 3G

KEBIMBANGAN diluahkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengenai bilangan penduduk gemuk di Malaysia kini menduduki tangga kedua paling ramai di Asia Tenggara dengan jumlah masing-masing 19 wanita dan 14 lelaki bagi setiap 100 orang, perlu dipandang serius.


Lebih berbahaya bahawa laporan kajian yang menunjukkan lebih sejuta wanita berusia antara 25 hingga 64 tahun (18.8 peratus) di negara ini diklasifikasikan sebagai gemuk, sekali gus terdedah kepada risiko pelbagai penyakit kronik seperti serangan jantung, kencing manis dan angin ahmar.

Selain itu, kajian Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan tahun lalu, mendapati 20 peratus penduduk dewasa dan 21 peratus kanak-kanak negara ini mengalami masalah 3G, iaitu gebu, gempal dan gemuk dengan wanita mencatatkan peratusan lebih tinggi berbanding lelaki.

Masyarakat Malaysia perlu prihatin dan mengambil berat isu ini, memandangkan ia membabitkan tahap kesihatan kita, sekali gus membabitkan diri sendiri. Sudah tiba masanya kita melakukan reformasi terhadap diri sendiri demi memiliki tubuh badan yang sihat serta bebas daripada ancaman penyakit kronik.

Masalah kegemukan bukan satu isu baru, malah ia sudah lama diperkatakan sejak dulu lagi. Bukan saja negara kita mengalami masalah ini, malah negara maju juga turut mengalami nasib sama.

Semakin ramai juga rakyat Amerika Syarikat mengalami masalah kegemukan, baik orang dewasa atau kanak-kanak. Statistik menunjukkan 60 peratus orang dewasa Amerika mempunyai berat badan keterlaluan.

Kajian mendapati memiliki berat badan berlebihan, tetapi kurangnya aktiviti fizikal dan tabiat makanan yang buruk, mendedahkan seseorang kepada risiko penyakit kronik hingga menyebabkan kematian di Amerika.

Rakyat Malaysia juga tidak terkecuali dengan kematian jika tidak prihatin dengan masalah kegemukan ini dan memandang sambil lewa akan tahap kesihatan diri.

Antara punca masalah kegemukan ini ialah perasaan lapar. Keinginan untuk mengambil makanan berlebihan dan keterlaluan kerana terlalu lapar, akan mengundang masalah ini. Selain itu juga, pengambilan makanan tidak sihat dan selamat secara berterusan akan mengundang kepada masalah kegemukan ini.

Contohnya, pengambilan makanan segera yang berterusan dan dengan kadar tinggi. Seperti yang diketahui, makanan segera sering dilabel sebagai makanan tinggi kalori, kolesterol, lemak tepu dan garam.

Rakyat Malaysia sering mengambil makanan segera kerana mudah didapati di mana-mana saja selain harga berpatutan dan lazat. Amalan ini perlu diubah demi kesihatan diri sendiri.

Perubahan perlu dilakukan menerusi ibu bapa dan anak. Amalan gaya hidup sihat perlu menjadi keutamaan dan agenda penting sesebuah keluarga demi mewujudkan keluarga harmoni, sihat dan bebas daripada penyakit kronik.

Ibu bapa perlu mengambil peranan penting dalam penyediaan makanan seimbang dan berkhasiat untuk anak ketika mereka kecil lagi. Penyediaan makanan seimbang dan sihat akan mengelakkan anak daripada mengalami masalah kegemukan atau obesiti.

Ibu bapa perlu mendidik anak supaya mementingkan kesihatan dan menjadikan agenda utama di dalam sesebuah keluarga. Selain itu juga, disiplin pengambilan makanan perlu diterapkan kepada anak demi mendidik mereka menghargai kesihatan sendiri.

Ibu bapa jangan terlalu memanjakan anak sehingga mengikut segala kemahuannya kerana lama kelamaan ia akan menjadi parah sehingga tidak boleh diubati lagi.

Senaman berterusan iaitu tiga kali seminggu selama 30 minit sekali perlu dilakukan kerana rakyat kita banyak makan tetapi kurang bersenam. Akibat kurang bersenam dan tidak melakukan aktiviti yang banyak menggunakan tenaga, tenaga berlebihan daripada makanan disimpan sebagai lemak.

Lama kelamaan kandungan lemak itu akan bertambah dan menyebabkan masalah kegemukan dan obesiti. Oleh itu, masalah kegemukan dapat diatasi dengan bersukan, berjoging dan riadah yang berterusan.

Sesetengah orang mengamalkan diet bagi mengatasi masalah kegemukan tetapi diet itu perlulah seimbang, bukan hanya dengan tidak mengambil langsung sebarang makanan dan mengambil pil pelangsing kerana ia akan memudaratkan kesihatan seperti jika mengamalkan diet tidak seimbang akan menyebabkan penyakit anoreksia.

Pelbagai pihak perlu memainkan peranan dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang sihat dan maju. Kesedaran perlu wujud di dalam setiap diri untuk mengutamakan kesihatan di dalam kehidupan seharian.

Media massa dan elektronik juga perlu memainkan peranan bagi melahirkan masyarakat yang prihatin dengan mutu kesihatan serta mengurangkan iklan makanan segera di pasaran.


Oleh Munirah Bahari
(Timbalan Pengerusi Majlis Hal Ehwal Siswi,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

BEBASKAN PALESTIN

BEBASKAN PALESTIN

PROFIL DIRI

Munirah Bahari

Dilahirkan pada 18 Oktober 1984 di Kampung Telok Bakong, Perak. Merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Ilmu Wahyu & Warisan Islam dan Diploma Pendidikan di UIAM, Gombak. Sekarang bertugas sebagai pendidik di SMK (F) Besout, Sungkai. Penulis boleh dihubungi melalui emel munirahbahari@gmail.com atau YM (munirah_bahari)