SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1428H


Majlis Hal Ehwal Siswi (HEWI) Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia sesi 2007/2008 ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1428H kepada mahasiswi di seluruh kampus di Malaysia. Syawal yang tiba ini telah meninggalkan Ramadhan yang mulia yang telah meninggalkan kesan mendalam ke atas umat Islam. Sesudah kita berjuang dan berpesta ibadat selama sebulan pada bulan Ramadhan amatlah wajar untuk kita meraikan kemenangan tersebut di bulan Syawal ini. Sesungguhnya pada zaman Rasullullah S.A.W, berakhirnya Ramadhan itu sangat ditangisi oleh Rasullullah S.A.W dan para sahabat kerana mungkinkah mereka berkesempatan untuk melakukan ibadat pada bulan Ramadhan yang akan datang. Begitu juga dengan diri kita, adakah kita berkesempatan untuk melakukan ibadat pada bulan Ramadhan yang kan datang?

Umat Islam sekarang sedang meraikan Syawal setelah berjaya melepasi ujian dan cabaran pada bulan Ramadhan al- Mubarak. Apa yang diharapkan mudah-mudahan madrasah Ramadhan telah mendidik dan membentuk keperibadian kita sebagai umat Islam khususnya mahasiswi yang mulia dan cemerlang demi membangunkan tamadun khaira ummah. Perlu diiingatkan bahawa bulan Syawal bukanlah bulan untuk kita berpesta makan setelah berpuasa selama sebulan sepertimana anggapan bagi sesetengah orang. Islam tidak melarang umatnya untuk menjamah makanan yang disajikan pada Aidilfitri ini tetapi perlulah berpada-pada supaya tiada berlaku amalan pembaziran dan sebagainya . Syawal mempunyai banyak keistimewaan dan kelebihannya yang tersendiri di mana bulan Syawal umat Islam disarankan untuk menziarahi kaum keluarga, sanak-saudara, sahabat handai serta saudara sesama Islam. Selain itu umat Islam digalakkan untuk berpuasa enam yang fadhilatnya menyamai berpuasa selama setahun. Sabda Rasullullah S.A.W, “ Barangsiapa berpuasa Ramadhan kemudiaan diikuti dengan puasa enam hari pada Syawal, maka orang itu seolah-olah berpuasa setahun penuh “. Kita perlu merebut peluang yang ada ini terutamanya usia kita yang masih muda dan mempunyai kekuatan yang melebihi orang tua.

Aidilfitri adalah masa yang sering dikaitkan dengan sikap bermaaf-maafan. Kita digalakkan untuk bermaafan dan melupakan segala kepahitan yang berlaku sebelum ini. Islam juga menyarankan umatnya untuk saling bermaaf-maafan. Di bulan Syawal yang mulia ini, insan yang memaafkan orang lain akan mendapat keredhaan daripada Allah S.W.T di samping mendapat kebahagiaanNya. Allah sangat menuntut umatnya menyemai dalam diri dengan sifat pemaaf dan bertolak ansur pada bulan Syawal ini. Allah berfirman di dalam surah as-Syuara’ ayat 39-40 bermaksud: “ Dan bagi orang yang dizalimi mereka akan membela diri. Balasan sesuatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa. Maka, sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik, pahalanya adalah tanggungan Allah. Sesungguhnya dia tidak menyukai orang zalim “.

Majlis HEWI juga ingin mengucapkan kepada seluruh umat Islam Salam Aidilfitri.. minal aidin wal faizin. Semoga pada bulan Syawal ini, kita berubah ke arah kebaikan dan kejayaan. Asas kepada perubahan itu ialah kita dapat memperbaiki diri dan seterusnya memperbaiki masyarakat agar kita mendapat keredhaan Allah S.W.T. Semoga perubahan yang dilakukan itu menuju ke arah kebaikan dan kejayaan di akhirat.

Dalam kemeriahan kita menyambut Aidilfitri ini, janganlah kita lupa terhadap golongan yang kurang bernasib baik daripada kita. Di luar sana, umat Islam di Palestin sedang bergelut dengan tentera Zionis serta Negara-negara lain. Tidak lupa juga dalam negara kita masih ada yang bersedih mengenangkan mereka tiada keluarga dan sebagainya. Mengenangkan kembali nasib arwahyarhamah adik Nurin Jazlin yang baru meninggal dunia akibat perbuatan kejam insan yang tidak berperikemanusiaan. Mengenangkan juga nasib remaja Malaysia yang teraniaya, Raja Munira yang ditahan di Lapangan Terbang Jepun atas tuduhan memiliki dadah. Mereka bukan seperti kita yang dapat menyambut Aidilfitri dengan sempurna tetapi terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran dan ujian. Semoga Allah S.W.T memberi kekuatan dan kesabaran kepada mereka yang kurang bernasib baik ini dan kita perlu memberikan sokongan serta tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan mereka. Oleh itu, marilah kita sama-sama menyambut Aidilfitri ini dengan cara yang sederhana disamping merebut peluang untuk mendapat ganjaran pahala daripada Allah S.W.T dengan melakukan puasa sunat enam.

Munirah Bahari
Naib Presiden HEWI
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia
sesi 2007/2008

0 comments:

BEBASKAN PALESTIN

BEBASKAN PALESTIN

PROFIL DIRI

Munirah Bahari

Dilahirkan pada 18 Oktober 1984 di Kampung Telok Bakong, Perak. Merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Ilmu Wahyu & Warisan Islam dan Diploma Pendidikan di UIAM, Gombak. Sekarang bertugas sebagai pendidik di SMK (F) Besout, Sungkai. Penulis boleh dihubungi melalui emel munirahbahari@gmail.com atau YM (munirah_bahari)