PUSAT SEHENTI JKM PERLU PERKASA PROGRAM PENCEGAHAN BUANG BAYI

SIARAN MEDIA
BERITA HARIAN 10 MEI 2007
UNIT KHAS CARA TEPAT CEGAH BUANG BAYI

Pujian harus diberikan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana menubuhkan Unit Khas bagi menangani masalah ibu yang melahirkan anak luar nikah bagi membendung gejala pembuangan bayi. Unit khas yang ditubuhkan itu beroperasi secara bergerak dan mempunyai pelbagai kaedah bagi membantu ibu yang bermasalah serta bayi yang mereka lahirkan termasuk juga bantuan kewangan, perlindungan dan kaunseling. Majlis Hal Ehwal Siswi (HEWI) Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik usaha Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menubuhkan unit khas bagi membendung gejala buang bayi.

Majlis HEWI PKPIM melihat senario pembuangan bayi yang berlaku sejak akhir-akhir ini sangat kritikal dan perlu ditangani habis-habisan oleh semua pihak. Menurut laporan akhbar, sepanjang tempoh dua tahun sehingga 2006, JKM menerima maklumat sejumlah 145 bayi luar nikah dibuang dan dijumpai di tempat awam atau diserahkan sendiri oleh ibu bermasalah kepada polis. Pihak kerajaan dan bukan kerajaan perlu bekerjasama dalam menangani isu ini. Isu pembuangan bayi merupakan isu yang besar dan perlu diberi perhatian serius kerana ia melibatkan nyawa seorang kanak-kanak yang tidak berdosa.

Majlis HEWI PKPIM mengharapkan dengan penubuhan pusat sehenti ini dapat mengurangkan jumlah pembuangan bayi dan bukan menggalakkan lagi perhubungan seks sebelum perkahwinan. Kita perlu mengambil iktibar dengan apa yang berlaku di Pusat Serenti Dadah. Banyak peruntukan kewangan telah dilaburkan untuk membina pusat serenti dan program-program pencegahan bagi merawat penagih dadah tetapi apa yang berlaku dan mengecewakan ialah penagih dadah di Malaysia dari sehari ke sehari semakin bertambah. Oleh itu Pusat sehenti ini perlu memikirkan strategi-strategi untuk program-program pencegahan berdasarkan punca-punca yang dapat dikenal pasti bagi membendung gejala pembuangan bayi ini.

Majlis HEWI PKPIM juga mencadangkan agar Badan NGO Wanita terutamanya Badan NGO Wanita Muslim berpatisipasi dalam menjayakan perancangan pusat sehenti JKM memandangkan kebanyakkan remaja wanita yang melahirkan anak luar nikah ini adalah terdiri daripada wanita Islam. Majlis HEWI PKPIM mencadangkan dilaksanakan Bengkel Keselamatan Diri Remaja sebagai satu usaha untuk memberikan kesedaran dan pengetahuan kepada remaja bahawa perhubungan seks sebelum perkahwinan merupakan satu perbuatan yang melanggar norma dan nilai masyarakat Malaysia dan memberikan impak yang negatif kepada masa depan remaja itu sendiri serta keluarga mereka. Sempena 50 tahun kemerdekaan Malaysia, Majlis HEWI PKPIM berpandangan peripentingnya jati diri remaja dirawat dan dibantu agar mereka menjadi modal insan yang berkualiti selaras dengan saranan YAB Perdana Menteri Malaysia.

Munirah Binti Bahari
Timbalan Pengerusi Hal Ehwal Siswi (HEWI)
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Kompleks Anjung Rahmat, Batu 6, Jalan Gombak
53100 Kuala Lumpur

Tel: 03-61879520
Faks: 03-61842570
Email: munirah@pkpim.net
www.pkpim.net

0 comments:

BEBASKAN PALESTIN

BEBASKAN PALESTIN

PROFIL DIRI

Munirah Bahari

Dilahirkan pada 18 Oktober 1984 di Kampung Telok Bakong, Perak. Merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Ilmu Wahyu & Warisan Islam dan Diploma Pendidikan di UIAM, Gombak. Sekarang bertugas sebagai pendidik di SMK (F) Besout, Sungkai. Penulis boleh dihubungi melalui emel munirahbahari@gmail.com atau YM (munirah_bahari)